PERSEMBAHAN skuad kebangsaan dalam saingan Piala Asia 2023 bukanlah satu pencapaian begitu membanggakan kerana mereka hanya mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan.
Namun, ia masih sukar dilupakan penyokong Harimau Malaya memandangkan anak-anak buah Kim Pan-gon mencipta kejutan dengan meraih keputusan seri 3-3 ketika berdepan Korea Selatan.
Tidak cukup dengan itu, perlawanan berkenaan juga akan kekal terpahat dalam memori orang ramai yang cukup kagum melihat jaringan pemain sayap, Faisal Halim pada minit ke-51 permainan.
Selepas menerima bola dalam kotak penalti lawan, penyerang bertubuh kecil itu bijak mengelirukan bek tengah, Kim Min-jae serta penjaga gol, Jo Hyeon-woo.
Gerakan berkenaan turut disudahkan dengan sepakan menglirukan daripada Faisal yang membuatkan orang ramai mengangkat mutu dan kualiti dimilikinya.
BACA LAGI: Spekulasi kini terpadam, Faisal Halim kekal bersama Selangor
Rakaman jaringan Faisal berdepan Korea Selatan daripada tempat duduk penyokong. — Facebook/Pencinta Bola Sepak Malaysia
Hal itu turut diakui Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang baru-baru ini meletakkan gol tersebut dalam senarai akhir Anugerah Gol Terbaik Piala Asia 2023.
Ia boleh dikatakan sebagai satu pencapaian bermakna buat negara apabila diberikan peluang sekali lagi mencipta nama dalam kalangan peminat bola sepak di benua terbabit.
Malah, orang ramai seakan-akan percaya bahawa Faisal berpeluang meraih anugerah yang dipertandingkan menerusi undian atas talian itu kerana kualitinya sukar dipertikaikan.
"Gol Faisal lebih kepada kemahiran individu tanpa bantuan pemain lain. Skil memperdaya, melihat ruang dan peluang, ketepatan masa dan sepakan (cungkilan). Sesuatu yang disengajakan membuahkan hasil," ujar Kz Ahmad.
"Gol Faisal hanya satu dalam 1,000. Tengok cara gol itu dihasilkan, bermula dari kedudukannya ketika Arif Aiman (Hanapi) melakukan percubaan, kedudukan Faisal masih dekat dengannya.
BACA LAGI: Bukan sekadar bercuti, Faisal Halim sempat ke lokasi sukan ternama di Korea Selatan
Lapan jaringan tersenarai untuk anugerah dianjurkan AFC itu. — Facebook/AFC
"Apabila ada biasan tepat kepada Faisal, dia buat acahan pertama menyebabkan bek Korea Selatan buat bentesan dan pusingannya pun nampak dia tidak perlu lihat ke arah gawang gol. Itulah kelebihan Faisal untuk gol itu," kata Valentino Rosdi.
"Daripada semua gol yang dipilih, semuanya dijaringkan dengan teknik sepakan dan skil tinggi kecuali gol Faisal Halim yang tidak memerlukan teknik, tetapi gol yang dijaringkan menggunakan skil dan kebijaksanaan," ujar Asaph Shavindran.
Selain jaringan penyerang berusia 26 tahun itu, tujuh lagi penyertaan menyaksikan pemain ternama, termasuk Son Heung-min serta Supachok Sarachat bakal bersaing dengannya.
Namun, setakat ini, Faisal meninggalkan jauh pencabarnya dengan ia membuka peluang buatnya meningkatkan reputasi sebagai antara pemain terbaik di posisinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram