KETIKA ini, naib juara Liga Super 2023, Selangor FC sudah kembali menjalani sesi latihan meskipun musim akan datang hanya akan bermula pada Mei.
Bagaimanapun, persiapan lebih awal pastinya mahu direncanakan skuad Gergasi Merah memandangkan mereka bakal berdepan satu tahun cukup mencabar selepas ini.
Berdasarkan perkongsian di laman media sosial kelab, hampir kesemua pemain, termasuk rekrut baharu pasukan sudah melaporkan diri ke pusat latihan di Shah Alam, Selangor.
Namun, perhatian lebih diajukan terhadap ketiadaan tonggak serangan pasukan, Faisal Halim yang sebelum ini beraksi bersama skuad kebangsaan dalam saingan Piala Asia.
Meskipun sudah mengumumkan bahawa dia akan kekal bersama kelab Lembah Klang itu, kelewatan menyertai sesi latihan berpusat dikhuatiri akan memberi kesan terhadap hubungannya dengan rakan sepasukan.
BACA LAGI: Spekulasi kini terpadam, Faisal Halim kekal bersama Selangor
Skuad Gergasi Merah kini kembali menjalani sesi latihan beberapa bulan sebelum saingan Liga Super bermula. — Facebook/Selangor FC
Tetapi, sekiranya melihat kepada akaun media sosial pemain bertubuh kecil tersebut, dia difahamkan sedang meluangkan masa bersama ahli keluarga bercuti di Korea Selatan.
Peluang tersebut pastinya diberikan pihak pengurusan Selangor FC memandangkan Faisal sudah memberikan cukup penting dalam merealisasikan misi pasukan untuk layak ke pentas Asia musim depan.
Bagaimanapun, percutian itu masih memberi peluang buat pemain berusia 26 tahun berkenaan untuk mencari cara menambah baik prestasinya di atas padang apabila dia sempat mengunjungi sebuah pusat sains sukan di negara berkenaan.
Dalam satu hantaran di Instastory Ultimate Potential, penyerang berkenaan kelihatan sedang diberikan penjelasan mengenai program yang dianjurkan perbadanan terbabit.
"Terima kasih atas kunjungan anda. Ultimate Potential mengharapkan hari yang cukup baik buat anda. Kami menyediakan penjagaan sukan berasaskan nutrisi secara peribadi berdasarkan informasi genetik DNA dan ujian alergik peribadi," tulisnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Selain skil menggelecek, karakter luar padang Faisal juga disenangi semua
Tangkap layar daripada kunjungan Faisal ke salah satu fasiliti Ultimate Potential.
Melihat kepada perkongsian di laman Instagram, syarikat berkenaan menyediakan minuman tambahan buat atlet yang digunakan beberapa ahli sukan terkenal.
Antara yang terikat dengan Ultimate Potential ketika ini ialah pemain Jeonbuk Hyundai Motors, Bo Kyung-kim dan bekas penyerang import Ulsan Hyundai, Junior Negrao.
Reputasi Faisal dalam landskap bola sepak Asia kian memuncak sejak kebelakangan ini selepas dia menjaringkan gol menakjubkan ketika Harimau Malaya berdepan Korea Selatan dalam Piala Asia.
Di peringkat domestik pula, penyerang kelahiran Pulau Pinang berkenaan kian terkenal setelah membantu skuad Gergasi Merah layak ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram