Penggunaan VAR, suntikan dana kerajaan antara topik hangat mesyuarat FAM


  • Podium
  • Selasa, 13 Feb 2024

Mesyuarat FAM memberi ruang buat badan induk bola sepak negara itu membincangkan hala tuju sukan itu. — Facebook/FAM

BEBERAPA isu utama diketengahkan dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kali ke-10 yang diadakan bagi membincangkan masa depan sukan tersebut dalam negara.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan pada Selasa, badan induk bola sepak negara itu mengumumkan terdapat suntikan dana daripada kerajaan buat skuad kebangsaan.

"Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin serta seluruh Jawatankuasa Eksekutif FAM merakamkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh atas pemberian peruntukan khas kepada Harimau Malaya tempoh hari.

"FAM percaya peruntukan disalurkan kerajaan adalah manifestasi sokongan padu tidak berbelah bahagi pucuk pimpinan kerajaan terhadap FAM yang mengawal selia semua kegiatan bola sepak tempatan," tulisnya.

BACA LAGI: Spekulasi kini terpadam, Faisal Halim kekal bersama Selangor

427844792_1095915034815065_4689302326666601367_n

Hamidin memberi ucapan penghargaan buat suntikan dana kerajaan bernilai RM5 juta. Facebook/FAM

Pemberian dana bernilai RM5 juta sebelum ini diumumkan selepas kempen Piala Asia yang menyaksikan pasukan negara meraih satu mata selepas mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Korea Selatan.

Bantuan kewangan tersebut pasti mampu menaikkan lagi prestasi skuad kebangsaan ketika ini yang sedang berentap dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Selain mampu menaik taraf infrastruktur di Wisma FAM, Petaling Jaya, Selangor, dana berkenaan boleh disalurkan untuk membawa masuk kepakaran untuk menyelesaikan isu bola sepak negara.

Dalam pada itu, isu penggunaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) turut dibentangkan dengan FAM mengumumkan beberapa individu sudah diberikan pendedahan awak mengenainya.

BACA LAGI: Bukan sekadar bercuti, Faisal Halim sempat ke lokasi sukan ternama di Korea Selatan

GettyImages-1422737534

Penggunaan VAR dilihat mampu menaikkan mutu pengadilan dalam negara. Agensi

"Seramai 21 orang pengadil, 20 orang penolong pengadil dan 9 orang Replay Referee telah selesai menjalani latihan VAR yang diiktiraf FIFA.

"FAM akan menjemput delegasi FIFA pada 17 hingga 22 April ke Malaysia bagi tujuan pemantauan, penilaian teknologi dan pengiktirafan," tulisnya.

Penggunaan teknologi berkenaan sering didesak peminat bola sepak tanah air kerana dirasakan mutu pengadilan dalam negara masih perlu ditambah baik berikutan isu yang kerap timbul mengenainya.

Bagaimanapun, masalah kekurangan dana dan kesukaran mendapatkan tunjuk ajar membuatkan FAM memilih untuk tidak menggunakan VAR dalam saingan Liga Super meskipun ia sudah diperkenalkan pada 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram