[VIDEO] Penangan seri dengan Taeguk Warriors masih berlarutan, giliran aktor kacak Korea 'respect' HM


  • Podium
  • Khamis, 15 Feb 2024

Suk-ku memuji semangat juang Harimau Malaya pada perlawanan berkenaan.

PERLAWANAN epik Malaysia yang berhasil mencuri mata dari Korea Selatan dengan keputusan seri 3-3 ketika aksi terakhir Kumpulan E dalam saingan Piala Asia 2023 Januari lalu kekal menjadi kenangan manis buat para penyokong bola sepak tanah air.

Meskipun hakikatnya Malaysia gagal untuk lolos ke peringkat 16 terbaik, namun kualiti persembahan skuad kendalian Kim Pan-gon dalam perlawanan menentang Taeguk Warriors sudah cukup memuaskan peminat sehingga ia turut mencuri tumpuan penyokong global.

Tiga jaringan dari Harimau Malaya dicetak Faisal Halim pada minit ke-51, sepakan sempurna Arif Aiman Hanapi pada minit ke-62 dan drama babak akhir dari pemain gantian, Romel Morales menyamakan kedudukan 3-3 sejurus sebelum wisel penamat dibunyikan.

Bukan itu sahaja, perlawanan tersebut juga diundi sebagai perlawanan terbaik pilihan peminat sepanjang pusingan awal dengan mendapat 80 peratus undi keseluruhan, jauh mengatasi perlawanan Vietnam-Indonesia yang mendapat 19 peratus undian di tempat kedua.

Populariti perlawanan Harimau Malaya menentang skuad bimbingan Jurgen Klinsmann berkenaan juga rupa-rupanya mencuri tumpuan aktor kacak Korea Selatan, Son Suk-ku apabila dia menyebut nama Malaysia dalam satu wawancara baru-baru ini.

BACA LAGI: Keputusan FAM kecewakan fans Korea Selatan mahu lihat Kim Pan-gon ganti Klinsmann

BACA LAGI: FAM tekad bantu Nazmi di Piala Dunia 2026 pecah rekod Subkhiddin

Pelakon berusia 41 tahun berkenaan memuji skuad bola sepak kebangsaan ketika seorang peminatnya dari Malaysia ingin menemu bual Suk-ku mengenai drama bersirinya A Killer Paradox yang sedang ditayangkan.

"Awak dari Malaysia. Saya hormat skuad bola sepak Malaysia," katanya yang kedengaran teruja ketika memuji semangat juang Harimau Malaya pada perlawanan berkenaan.

Walaupun sekadar sepotong ayat namun ia sudah cukup membuktikan perlawanan berkenaan diminat semua lapisan dan menunjukkan skuad kebangsaan mempunyai kualiti berbeza ketika menentang pasukan di kedudukan 23 dunia tersebut.

Sebelum ini, bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min turut memuji daya juang dan kreativiti dipamerkan skuad Harimau Malaya kerana mampu mampu bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk membawa pulang satu-satunya mata dalam kejohanan ini.

"Ia satu keputusan yang sukar diterima, tetapi pujian hebat perlu diberikan kepada pasukan Malaysia. Mereka berjuang sehingga saat akhir permainan dan saya kagum dengan bola sepak Malaysia yang kreatif.

"Malaysia melaksanakan tugas mereka dengan hebat, memang menarik untuk menyaksikan perlawanan ini selaku peminat bola sepak," katanya selepas perlawanan di Stadium Al Janoub di Doha, Qatar pada 25 Januari lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram