Jarang dapat peluang bersama Sabah FC, bekas bintang Harimau Muda antara 3 pemain perlu segera angkat kaki


  • Podium
  • Selasa, 20 Feb 2024

Beberapa pemain skuad Sang Badak kurang memberi sumbangan buat pasukan itu sepanjang musim lalu. — Facebook/Sabah FC

PENYINGKIRAN Sabah FC daripada saingan Piala AFC membolehkan mereka memberi sepenuh tumpuan terhadap perancangan musim depan dengan jendela perpindahan kali ini sudah dibuka.

Mereka yang menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga ketiga pasti lebih bersemangat untuk bersaing dengan kemasukan nama baharu mampu merealisasikan misi berkenaan.

Walaupun tidak dikaitkan dengan mana-mana pemain setakat ini, pihak pengurusan kelab pasti mempunyai senarai tersendiri yang dilihat mampu menaikkan kualiti skuad Sang Badak.

Selain itu, mutu dan pencapaian pasukan Borneo tersebut tiga musim kebelakangan ini menjadikan mereka satu destinasi sukar ditolak buat pemain tempatan.

BACA LAGI: Tak lama dulu, kehadiran import Brazil buat fans Sabah tak senang duduk

412049800_749119580588069_6263051655999717604_n

Skuad Sang Badak sekali lagi membuktikan kualiti mereka musim lalu. Facebook/Sabah FC

Bagaimanapun, dalam memastikan rekrut dibawa masuk itu dapat memperolehi minit permainan mencukupi, Sabah FC perlu membuat perubahan terhadap pasukan terlebih dahulu.

Langkah utama yang perlu diambil adalah dengan menamatkan khidmat beberapa pemain yang dirasakan kurang membawa sumbangan buat mereka sepanjang musim lalu.

Di samping tidak dapat bersaing dengan pemain import dalam posisi masing-masing, isu lain seperti kecederaan dan kesesuaian dalam pasukan menyaksikan mereka kerap disisihkan.

Sekiranya mereka berjaya mencapai kata putus untuk tidak menyambung kontrak, ia akan memberi manfaat buat semua pihak terlibat dengan kelab tidak perlu lagi menampung gaji sementara mereka yang dilepaskan berpeluang mendapatkan minit permainan.

Melihat kepada skuad semasa Sabah FC , terdapat tiga nama yang perlu meninggalkan pasukan berkenaan pada jendela perpindahan kali ini setelah kurang meraih minit permainan musim lalu.

1. Irfan Zakaria

Keputusan bekas pemain pertahanan skuad muda negara, Irfan Zakaria untuk menyertai skuad Sang Badak awal musim lalu membuatkan ramai penyokong pasukan itu tertarik dengannya.

Bek tengah yang mencipta reputasi bersama Kuala Lumpur (KL) City FC berkenaan boleh diangkat sebagai antara yang terbaik di posisinya pada 2022.

Kehadirannya juga menyaksikan skuad Warga Kota mencipta sejarah melangkah ke pentas akhir Piala AFC 2022 apabila gandingannya bersama rakan sepasukan sukar dipertikaikan.

Namun, di Sabah FC, peluang buat pemain kelahiran KL itu tidak hadir dengan mudah kerana lambakan pemain berkualiti yang boleh beraksi di posisi bek tengah.

BACA LAGI: [VIDEO] Import Brazil sedia jadi 'top scorer' liga, bantu Sabah jadi nombor 1

GBoIjadbYAATzuu

Khidmat Irfan kurang ditagih sepanjang semusim bersama skuad Sang Badak. Facebook/Sabah FC

Kecenderungan pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee untuk meletakkan gandingan Gabriel Peres dan Dominic Tan sebagai duo pertahanan tengah menyukarkan Irfan untuk beraksi dengan kerap.

Selain itu, kecemerlangan kapten skuad Sang Badak, Park Tae-su yang kadang-kadang diberikan peranan sebagai bek tengah kian menutup peluangnya dengan hanya 19 penampilan direkodkannya sepanjang musim.

Jadi, sekiranya Irfan memasang cita-cita untuk tampil lebih kerap, dia perlu mencari angin baharu ketika jendela perpindahan kali ini dibuka.

Kepulangan ke KL City FC boleh dianggap sebagai satu pilihan terbaik buat pertahanan berusia 28 tahun itu dengan skuad Warga Kota turut dilaporkan memerlukan pemain baharu di posisi berkenaan musim depan.

2. R Dinesh

Salah seorang tonggak utama Sabah FC musim lalu ialah bek kiri mereka, Rizal Ghazali yang bijak memikul tanggungjawab baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Kebolehannya dalam menghidu serangan pihak lawan serta melakukan hantaran berkualiti menyaksikan khidmatnya ditagih Kim Swee baik di pentas domestik mahupun Asia.

Hal itu sedikit sebanyak menyaksikan peluang seorang lagi bek kiri Sabah FC, R Dinesh sedikit terjejas sehingga menyaksikannya hanya merekodkan lima penampilan buat mereka secara keseluruhan.

404588497_733487275484633_7935914328818451701_n

Dinesh kurang diberikan peluang dalam skuad Sang Badak musim lalu. Facebook/Sabah FC

Pulangan berkenaan pasti mengecewakan bekas pemain Selangor FC itu yang pasti berhasrat skuad Sang Badak mampu menjadi batu loncatan untuknya mencipta nama.

Bagaimanapun, kesukaran untuk mencuri tempat sebagai bek kiri dalam kesebelasan utama pasukan menyaksikan Dinesh lebih kerap berada di bangku simpanan.

Jadi, dengan jendela perpindahan masih dibuka, pemain berusia 26 tahun itu perlu membuat keputusan segera demi mendapatkan minit permainan lebih kerap untuk saingan musim 2024/25.

Perak FC dan Negeri Sembilan FC boleh dianggap sebagai kelab terbaik buatnya dengan masing-masing memerlukan seorang yang berpengalaman di posisi itu.

3. S Kumaahran

Kecemerlangan pemain sayap merupakan kunci utama jentera serangan skuad Sang Badak musim lalu kerana Kim Swee meletakkan kepercayaan penuh buat anak-anak buahnya di posisi itu.

Jadi, tidak hairanlah apabila beberapa anak-anak buahnya cemerlang setiap kali diberi kepercayaan, seperti Saddil Ramdani dan Jafri Firdaus Chew.

Namun, bagi S Kumaahran, dia seakan-akan tidak dapat menyesuaikan diri dalam perancangan pasukan kerana dia kerap disisihkan sepanjang musim.

348228777_906079580462563_1434408972724231868_n

Kumaahran masih mampu membawa kelainan buat mana-mana pasukan Liga Super. Facebook/Sabah FC

Pemain yang menyertai Sabah FC dari Petaling Jaya (PJ) City FC itu hanya merekodkan sembilan penampilan Liga Super buat skuad Sang Badak dengan hanya satu daripadanya menyaksikan dia berada dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, ia tidak menghalangnya daripada menjaringkan gol apabila dia berjaya menggegarkan gawang ketika aksi berdepan Kelantan FC di Stadium UiTM, Selangor.

Sumbangan itu membuatkan Kumaahran sebagai salah seorang pemain boleh disambar mana-mana kelab Liga Super yang memerlukan pemain sayap dengan kelincahan dan kepantasan di atas padang.

Tetapi, isu kecederaan dialami pemain kelahiran Pulau Pinang berkenaan mampu membuatkan pasukan lain berasa sangsi untuk mendapatkan khidmatnya, apatah lagi menjadikannya sebagai tonggak utama pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram