Lepas ikat ubi Krgyz, Perak dalam misi kejar mesin gol dari Colombia


  • Podium
  • Ahad, 18 Feb 2024

Wilmar Jordan kini beraksi untuk Punjab FC di India. — Agensi

KELAB Liga Super, Perak FC telah mula menggerakkan langkah untuk mendapatkan pemain-pemain import berkualiti bagi musim ini.

Selepas kehilangan penyerang Korea Selatan iaitu Seo Seon-ung, Perak berjaya memperoleh pemain dari Republik Kyrgyz iaitu Adilet Kanybekov.

Kehadiran Kanybekov dianggap petanda Perak serius untuk membaiki kedudukan liga mereka apabila pemain tersebut hadir dengan status sebagai ketua pasukan skuad bawah 23 tahun (B-23) Republik Kyrgyz.

Usaha tersebut tidak terhenti di situ, sebaliknya Perak dikatakan akan membawa satu lagi nama yang bakal menjadi taruhan penting Yusri Che Lah terutamanya di bahagian serangan.

Perak dikatakan akan membawa masuk penyerang Colombia, Wilmar Jordan untuk menjadi teraju utama serangan The Bos Gaurus musim ini.

BACA LAGI: Contohi 3 kelab termasuk Selangor elak Pan-gon guna muka lama menjelang ‘double header’ lawan Oman

wilmar-jordan-gil-1668069165-96070

Jordan merupakan penyerang berusia 33 tahun. — Agensi

BACA LAGI: Bukan tak sudi, tapi ada 3 sebab fans Sang Penyu ‘pangkah’ gila-gila Joe Rozi

Penyerang yang beraksi untuk Punjab FC di India itu telah menghasilkan tiga gol dalam lapan perlawanan musim 2023/2024 Indian Super League (ISL).

Perak dikatakan dalam usaha untuk mengesahkan perpindahan Jordan ke Malaysia namun begitu dia tidak akan tiba dalam masa yang terdekat.

Hal ini kerana, Jordan dikatakan mahu menamatkan masanya di India terlebih dahulu sebelum berhijrah ke Malaysia.

Sebagai rekod, kontrak Jordan akan tamat pada 31 Mei ini dan pemain itu berkemungkinan mahu berhijrah ke Malaysia lebih awal daripada tarikh tersebut. Jordan hanya mempunyai kontrak setahun bersama Punjab selepas menyertai mereka pada Ogos 2023.

Jika berjaya disahkan sebagai penyerang baharu Perak, Jordan mempunyai tugas berat untuk menggegar pintu gol lawan. Dengan usia kini mencecah 33 tahun, ia mungkin sedikit sebanyak akan timbulkan keraguan penyokong terhadap kemampuannya untuk mengetuai barisan serangan.

Namun begitu, tidak mustahil Jordan mampu menyerlah jika mengambil inspirasi seorang lagi penyerang Colombia, Ayron del Valle yang muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super pada usia 34 tahun.

Sepanjang karier, Jordan telah menghasilkan 97 gol dan 22 bantuan jaringan dalam 260 penampilan di peringkat kelab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram