Bukan tak sudi, tapi ada 3 sebab fans Sang Penyu ‘pangkah’ gila-gila Joe Rozi


  • Podium
  • Ahad, 18 Feb 2024

Ratusan penyokong meluangkan masa menyaksikan sesi latihan pertama skuad Sang Penyu bagi 2024. — Facebook/Terengganu FC

MENJELANG perlawanan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023, Terengganu FC antara pasukan yang giat memperkuatkan pasukan setelah memperkenal lima wajah baharu baru-baru ini.

Antara wajah baharu yang sudah tiba di bumi Terengganu ialah duo dari Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid, bekas perancang Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan selain mengumumkan dua import iaitu Matthew Steenvoorden serta bekas penyerang Kelantan United, Ismahil Akinade.

Selepas sudah mengumumkan beberapa wajah baharu tersebut, Sang Penyu menerima khabar gembira selepas kelibat bekas pengurus TFC, Zul Fadzli Rozi kelihatan di atas padang.

Perkara itu pastinya memberi suntikan kepada skuad Sang Penyu untuk terus menampilkan aksi persembahan terbaik bagi musim 2024.

Meskipun kehadiran individu yang dikenali sebagai Joe Rozi itu sebagai pengarah pasukan dapat dilihat sebagai senjata baharu namun terdapat segelintir penyokong tidak bersetuju dengan berita tersebut.

Meninjau ruangan komen di media sosial, rata-rata penyokong Sang Penyu berasakan kehadiran semula Joe Rozi dari Kedah Darul Aman (KDA) FC ke kelab tersebut seolah-olah tidak mampu memberi kesan yang positif kepada pasukan itu.

Untuk rekod, di KDA FC, Joe Rozi bertindak sebagai koordinator pasukan pada musim lepas sebelum dilantik sebagai pengarah sukan (sporting director) (SD) TFC musim 2024.

Namun tarikh sebenar pelantikan itu tidak jelas hingga ada kumpulan penyokong yang menuntut pengurusan mengumumkan bilakah Joe Rozi dilantik secara rasmi di jawatan berkenaan.

Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga sebab penyokong Sang Penyu 'pangkah' kehadiran Joe Rozi.

BACA LAGI: [VIDEO] Lima tahun tidak beraksi di Liga Super, Sarawak pernah cipta sejarah tewaskan Johor FC

Joe Rozi

Kelibat Joe Rozi (baju putih) sememangnya mencuri perhatian pelbagai pihak.

BACA LAGI: [VIDEO] Ditawar harga lumayan, luahan Syahir Iqbal Khan bukti masih sayang Selangor

1. Lebih selesa dengan struktur semasa kelab

Melihat kepada prestasi semasa Sang Penyu, pastinya di bawah kendalian pengendali Croatia, Tomislav Steinbruckner banyak memberikan perubahan positif kepada pasukan tersebut.

Malah, penyokong turut meluahkan kerisauan sekiranya terdapat campur tangan daripada beberapa pihak yang akan menjejaskan latihan dalam pasukan.

Bukan itu sahaja, struktur semasa kelab Sang Penyu dilihat lebih teratur ketika ini dan hanya perlu memberi kepercayaan kepada Steinbruckner dalam memilih kesebelasan utama pasukan.

Malah, momentum dan persediaan pasukan dalam keadaan terbaik sejak daripada suku terakhir musim lepas ditambah dengan pengenalan pemain-pemain baru berstatus bintang.

Sehubungan itu, isu tersebut pasti merencat dan jejaskan mood terutama melibatkan penyokong yang seterusnya memberi kesan kepada pasukan.

2. Mahu melihat ke hadapan

Setiap ketua jurulatih dalam pasukan pastinya sudah mempunyai perancangan yang rapi untuk memperkuatkan kelab masing-masing.

Turut tidak terkecuali, pengendali Sang Penyu, Steinbruckner yang tentunya mempunyai misi membawa Terengganu ke saingan Piala Asia sekali lagi selepas gagal melepasi peringat kumpulan perlawanan Piala AFC 2023.

Dalam pada itu, penyokong berasakan kehadiran Joe Rozi ke bumi Terengganu akan merencatkan perancangan pengendali kelahiran Croatia itu dari segi pemilihan pemain.

Ini kerana peranan Joe Rozi sebagai SD di skuad Peteh tidak jelas.

"Jika di luar negara, SD berperanan untuk mengurus, memperhalusi falsafah kelab dari pasukan remaja hingga senior, mengenal pasti sasaran perpindahan, membincangkan belanjawan, membeli dan menjual pemain dan sebagainya.

"Adakah ini akan menidakkan sebahagian tugas jurulatih (Steinbruckner) untuk memilih pemain pilihannya sendiri?," soal kumpulan penyokong Bola Sepak Terengganu.

3. Elak isu kewangan

Sang Penyu difahamkan mahu berbelanja secara berhemah untuk musim 2024.

Segelintir penyokong berpandangan bahawa kehadiran bekas pengurus TFC itu akan meningkatkan perbelanjaan kelab tersebut.

Ia berikutan apabila sebelum ini Terengganu pernah mengumumkan bahawa pasukan tersebut ketika ini hanya memiliki bajet yang kecil.

Tidak cukup dengan itu, kehadiran Joe Rozi yang akan menggantikan posisi pengurus pasukan, Fadhil Wahab diilihat sesetengah pihak seperti akan memberi kesan kepada kos perbelanjaan.

Justeru ramai mempersoalkan apakah keperluan sebenar SD dilantik pada ketika ini tatkala kelab mempunyai bajet yang kecil? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram