'Sebab sayalah, Malaysia kalah', skuad wanita terkandas, pasukan lelaki tepati ramalan


  • Podium
  • Jumaat, 16 Feb 2024

Gandingan Goh Zse Fei-Nur Izuddin mengesahkan tempat Malaysia di separuh akhir. — BAM

CERITA berbeza buat pasukan lelaki dan wanita Malaysia dalam pusingan kalah mati Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2024 (BATC) yang diadakan di Setia Alam, Selangor.

Pasukan lelaki berjaya menepati sasaran yang ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila mereka berjaya layak ke separuh akhir.

Ia berhasil selepas mereka berjaya menewaskan Singapura 3-1 di suku akhir untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Malaysia berdepan kesukaran apabila perseorangan pertama, Ng Tze Yong terpaksa menarik diri akibat kurang cergas selepas diturunkan dalam perlawanan bertemu Brunei.

Walaupun ketinggalan, Malaysia bangkit untuk menyamakan kedudukan apabila beregu pertama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menewaskan gandingan Loh Lean Hean-Wong Jia Hao.

Gandingan Malaysia berjaya memenangi set pertama dengan keputusan 21-11 sebelum beregu Singapura mengheret perlawanan ke rubber set menerusi markah 22-24. Aaron-Wooi Yik bagaimanapun berjaya memenangi set ketiga apabila menang 21-14 untuk menyamakan kedudukan.

Mata kedua Malaysia diraih Leong Jun Hao yang turun sebagai perseorangan kedua apabila menewaskan Joel Koh Jia Wei dengan mudah iaitu 21-8, 21-12.

BACA LAGI: Kembali ke padang latihan Terengganu beri 'hint' orang kuat Kedah akan ke Pantai Timur

GGc2118aEAEw0Gh

Jun Hao menang 'straight set' dalam perlawanan perseorangan lelaki kedua. — BAM

Kemenangan Malaysia disahkan oleh beregu kedua menerusi Goh Sze Fei-Nur Izzudin yang menewaskan pasangan Wesley Koh Eng Keat-Kubo Junsuke menerusi rubber set 21-6, 20-22 dan 21-8.

Namun begitu, duka menimpa pasukan wanita apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Indonesia menerusi kekalahan 0-3.

Perseorangan pertama, Letshanaa Karupathevan tumpas kepada Putri Kusuma Wardani dengan keputusan 12-21, 21-18 dan 13-21.

Harapan untuk memperoleh mata penyamaan tidak berhasil apabila gandingan Pearly Tan-Thinaah Muralitharan kalah kepada Lanny Mayasari-Ribka Sugiarto 14-21, 21-18 dan 15-21.

Detik penentuan terletak kepada perseorangan kedua iaitu Wong Ling Ching yang turun berdepan Ester Nurumi Wardoyo. Memegang nasib Malaysia, Ling Ching tidak berhasil untuk memastikan perjuangan masih menyala apabila tumpas.

Ling Ching kalah kepada Ester 21-14, 15-21 dan 16-21 sekali gus mengesahkan kekalahan Malaysia di suku akhir.

BACA LAGI: Bakal tiba sebagai ‘big signing’, Perak hampir dapatkan wira Sukan SEA 2017

GGb1oWXasAAByBN

Ling Ching tidak berjaya menyelamatkan Malaysia. — BAM

Dalam video yang tular di X (Twitter), Ling Ching mengatakan yang dia adalah punca kekalahan Malaysia. Seandainya dia berjaya menang, Malaysia masih berpeluang untuk melakukan kebangkitan.

"Sebab sayalah, pasukan Malaysia kalah. Ini adalah kali pertama saya beraksi dalam kejohanan berpasukan, saya harap di masa akan datang saya dapat sumbangkan satu mata buat Malaysia," kata Ling Ching sambil menahan sebak.

Kini tinggal pasukan lelaki saja yang meneruskan cabaran dengan mereka akan berdepan sama ada India atau Jepun pada separuh akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram