Hype lain macam tengok Akhyar dan Safawi, TFC bakal raih 3 ‘durian runtuh’


  • Podium
  • Sabtu, 17 Feb 2024

Pemain mula menjalani sesi latihan pertama bersama skuad Sang Penyu bagi musim 2024. — Facebook/TFC

'SAMBIL menyelam minum air'. Demikian pepatah Melayu boleh diungkapkan dalam situasi yang melanda kelab Pantai Timur, Terengganu (TFC) ketika ini.

Ia susulan penghijrahan duo sensasi kebangsaan ke kelab itu dengan mereka kian mendapat perhatian peminat TFC yang semakin tidak sabar menyaksikan aksi memukau pemain pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) tersebut.

Kehangatan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bakal bermula tidak lama lagi mula dirasai peminat apabila padang latihan pasukan itu mula dibanjiri penyokong yang hadir menyaksikan pemain-pemain menjalani latihan.

Ia sekali gus membuktikan betapa besarnya aura serta nilai yang dibawa kedua-dua pemain sayap Harimau Malaya itu ke dalam skuad Penyu musim depan.

BACA LAGI: Tidak lagi di bangku simpanan, 4 'winger' HM dengan tambahan minit permainan bikin KPG pening

2546285

Penyokong TFC mula membanjiri padang latihan pasukan Terengganu untuk menyaksikan pemain kesayangan. — Facebook/TFC

Dalam pada itu, beberapa perkembangan positif lain dijangka mampu dikecapi pengurusan TFC sebaik bermulanya saingan musim 2024 kelak.

Selain daripada trofi kejuaraan yang diburu, Sang Penyu juga bakal menerima 'durian runtuh' lain menerusi kehadiran Safawi Rasid dan Akhyar Rashid yang sememangnya menjanjikan pembaharuan buat pasukan itu nanti.

Berikut Majoriti senaraikan tiga kelebihan yang bakal dinikmati skuad dan fans TFC.

BACA LAGI: Kejayaan import Liga M bawa Jordan ke final Piala Asia bongkar pekung di dada

Dqgq9Z7V4AACCqe

1. Stadium penuh setiap perlawanan

Sokongan pemain ke-11 dijangka akan sentiasa memenuhi ruang tempat duduk stadium dalam setiap perlawanan Terengganu di saingan liga tempatan.

Pertembungan antara pasukan handalan tanah air seperti Selangor misalnya, pastinya saat yang dinanti-nantikan seluruh penyokong setia TFC tidak kira aksi di tempat sendiri mahupun stadium lawan.

Dengan sokongan gemuruh daripada penonton stadium, ia sekali gus mampu meningkatkan lagi momentum serta semangat pemain dalam mempamerkan aksi terbaik di atas padang.

2543218

2. Gandingan duo Harimau Malaya semakin mantap

Jika sebelum ini, isu kekurangan minit permainan sering menghantui pemain-pemain di JDT, namun pemergian dua pemain sayap kebangsaan itu ke TFC secara pinjaman merupakan penyelesaian terbaik berhubung prestasi mereka.

Dijangka akan kerap diturunkan dalam kesebelasan utama perlawanan, ia juga bakal menyumbang kepada mutu persembahan anak-anak buah Kim Pan-gon di pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 nanti.

Percaturan Pan-gon sebelum ini yang gemar meletakkan Safawi dan Akhyar sebagai pemain gantian, dijangka akan berubah selepas kedua-duanya bakal memiliki minit permainan lebih yang secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan prestasi ketika mewakili negara.

Pernah mendominasi posisi sayap kiri dan kanan kebangsaan satu ketika dahulu, tidak mustahil jika zaman gemilang itu mampu dikembalikan selepas daripada penghijrahan mereka ke Terengganu.

maxresdefault

3. Sumbang kewangan kelab TFC

Selain daripada tumpuan pemain di atas padang, status kewangan kelab juga diyakini mampu ditambah baik susulan peningkatan sokongan serta jualan jersi yang semakin laris.

Kedatangan penonton di stadium semestinya turut diiringi jualan jersi yang menjadi buruan peminat bola sepak tanah air tanpa mengira negeri kelahiran masing-masing.

Kejayaan ataupun aksi memukau dipamerkan sesebuah kelab mampu mempengaruhi seseorang itu untuk turut sama mendapatkan jersi pasukan digemari sebagai tanda sokongan terhadap pasukan tersebut.

Tambahan itu, segelintir penyokong mula menyuarakan pendapat di laman sosial berhubung penambahbaikan yang boleh dilakukan di stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.

Dengan kehadiran penyokong di setiap sesi latihan pemain, fans mencadangkan agar pengurusan TFC mengikut jejak kelab JDT yang menyediakan kafe ataupun gerai makanan buat penonton yang hadir melihat pemain kesayangan mereka.

jdjdj

Kemudahan kafe yang disediakan bersebelahan padang latihan Stadium Sultan Ibrahim di Johor. — Facebook/JDT

Pembinaan ruang makan ataupun kedai berkonsepkan barangan cenderahati itu mampu menjadi satu sumber kewangan baharu buat pasukan TFC bagi menampung segala keperluan pemain mahupun penambahbaikan fasiliti kelab.

Dengan sumber kewangan yang lebih terjamin, nescaya skuad Penyu juga mampu mengekori jejak JDT selaku kuasa besar Liga M yang sentiasa menyediakan keperluan bertaraf lima bintang buat pemain serta penyokong setianya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram