[VIDEO] Hampir 'lari' sertai JDT, sepakan penalti tersasar Azrif tambah duka penyokong Selangor


  • Podium
  • Rabu, 14 Feb 2024

Azrif (paling kiri) ditenangkan oleh rakan sepasukan Selangor gagal sempurnakan sepakan penalti. — Agensi

SABAN musim, Selangor FC tidak pernah gagal mengeluarkan para pemain yang berkualiti tinggi di setiap posisi.

Di bahagian pertahanan kanan misalnya, Selangor pernah menghasilkan pemain seperti Mahali Jasuli dan Syahmi Safari. Kedua-duanya mempunyai potensi cukup besar untuk menjadi pertahanan terbilang.

Satu lagi nama adalah Azrif Nasrulhaq. Di awal kemunculannya, dia mencuri tumpuan menerusi persembahan baik bersama Selangor dan PKNS FC.

Oleh disebabkan itu, dia mula menarik perhatian Johor Darul Ta'zim (JDT). Pada 2016, dia hampir meninggalkan Selangor untuk Harimau Selatan dan itu tidak disenangi oleh penyokong Gergasi Merah.

Perpindahan Azrif bagaimanapun tidak berjaya dengan dia kemudiannya memohon maaf secara terbuka kepada penyokong Selangor ketika mereka melancarkan jersi bagi musim 2016.

Kedua-dua kelab itu kemudiannya bertemu sesama sendiri dalam perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Larkin dan ketika itulah, penyokong Selangor terasa seperti mereka dikhianati.

Hal ini kerana, selepas perlawanan terikat 1-1 hasil jaringan Hariss Harun dan Hafiz Kamal, pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Azrif, yang mengambil sepakan ketika sudden death, mesti menjaringkan gol untuk memastikan peluang masih terbuka buat Selangor merangkul piala. Namun begitu, sepakannya tersasar daripada sasaran.

BACA LAGI: Niat hati tak nak berpisah, bintang JDT beri 'hint' enggan jauh dengan Luqman Hakim?

BACA LAGI: FAM tekad bantu Nazmi di Piala Dunia 2026 pecah rekod Subkhiddin

Ia menyebabkan JDT dipilih sebagai pemenang selepas memenangi penentuan sepakan penalti 7-6.

Selepas setengah musim bersama Selangor pada 2016, Azrif akhirnya pergi menyertai JDT pada bulan Julai ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka.

Melangkah ke hari ini, Azrif masih lagi bersama-sama JDT dengan dia menghabiskan satu musim bersama Sri Pahang FC pada 2023.

Azrif berpeluang untuk beraksi bertemu Selangor apabila kedua-dua kelab bertemu dalam perlawanan serupa pada awal musim 2024/2025.

Untuk rekod, ia adalah pertemuan kedua-dua kelab yang pertama dalam perlawanan serupa sejak 2016. Malah, Selangor akan beraksi dalam Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali pertama sejak tahun yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram