Kembali lepas digugurkan JDT, kelibat bek senior bagaikan petanda terima nasib seperti Forestieri


  • Podium
  • Khamis, 15 Feb 2024

Kem Harimau Selatan sudah memulakan persiapan pra musim 2024/2025 pada Rabu. — Facebook/JDT

JUARA 'double quadruple', Johor Darul Takzim (JDT) tidak berasa selesa untuk terus bercuti lama apabila skuad kendalian Hector Bidoglio itu sudah memulakan persiapan pra musim 2024/2025 pada Rabu.

Menerusi perkongsian semasa di laman Facebook rasmi, ramai pemain dari musim lepas seperti penyerang prolifik, Bergson Da Silva, Feroz Baharudin, Hong Wan serta beberapa wajah baharu seperti Murilo Henrique dan Nicolao Cardoso.

Sementara itu, pemain Harimau Malaya yang bertugas untuk Malaysia pada kempen Piala Asia Qatar baru-baru ini seperti Arif Aiman Hanapi, Syihan Hazmi, Corbin Ong dan Matthew Davies masih belum kelihatan.

Dalam kalangan pemain yang sudah melaporkan diri di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam, Johor Bahru, Johor tersebut juga kelihatan kehadiran seorang pemain senior Harimau Selatan, S. Kunanlan.

Kelibat bek kanan berpengalaman berkenaan mengejutkan penyokong berikutan sebelum ini, Kunanlan sudah diumumkan digugurkan dari perancangan musim baharu ini bersama Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo.

BACA LAGI: Tak setaraf faktor fans mahu JDT tolak jemputan kelab Bojan Hodak ajak friendly

kunanlan

Kunanlan sebelum ini sudah digugurkan dari skuad JDT untuk musim 2024/2025. — Facebook/JDT

BACA LAGI: [VIDEO] Penangan seri dengan Taeguk Warrios masih berlarutan, giliran aktor kacak Korea 'respect' HM

Menjengah di ruangan komen, ramai pemain ke-12 JDT berpendapat bahawa pemain berusia 37 tahun berkenaan mengikut jejak langkah bekas ketua pasukan, Aidil Zafuan Abd Radzak yang kini sudah bergelar sebagai salah satu kakitangan kejurulatihan Hector.

Walaupun status Kunanlan masih kekal tanda tanya namun kehadirannya sama ada menjadi kakitangan mahupun kembali sebagai pemain pasti akan berperanan membantu ubi muda terutama di bahagian pertahanan untuk mendapatkan nasihatnya.

Sekiranya Harimau Selatan kembali membawa masuk Kunanlan, ia akan mengulangi skrip sama seperti import Argentina, Forestieri yang dipanggil semula untuk saingan Liga Malaysia musim ini.

Dalam pada itu, persediaan awal JDT ini seakan-akan amaran awal kepada pasukan lain bahawa Harimau Selatan sudah bersedia untuk mengekalkan kejuaraan di semua kejohanan domestik.

Selepas latihan di Padang Seri Gelam, Harimau Selatan difahamkan akan mengadakan kempen pra musim di Portugal dan Sepanyol bagi mempersiapkan pasukan menghadapi saingan domestik dan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) yang lebih mencabar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram