Keputusan FAM kecewakan fans Korea Selatan mahu lihat Kim Pan-gon ganti Klinsmann


  • Podium
  • Rabu, 14 Feb 2024

Di bawah kendalian Pan-gon, skuad Harimau Malaya berjaya layak ke Piala Asia secara merit. — Facebook/FAM

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon akan terus mengemudi skuad kebangsaan bagi mengharungi perlawanan penting termasuk pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang menjelaskan bahawa khabar angin Pan-gon meninggalkan Malaysia untuk membimbing pasukan kebangsaan Korea Selatan adalah tidak berasas.

Ia susulan selepas heboh di media sosial yang mengatakan bahawa peminat bola sepak Korea Selatan menggesa agar Pan-gon berkhidmat di negara kelahirannya bagi menggantikan pengendali skuad Taeguk Warriors, Jurgen Klinsmann.

Ia berikutan selepas Klinsmann gagal membawa Korea Selatan ke pusingan akhir Piala Asia 2023 berikutan tewas di tangan Jordan dengan keputusan 2-0 dalam aksi separuh akhir.

BACA LAGI: FAM tekad bantu Nazmi di Piala Dunia 2026 pecah rekod Subkhiddin

WhatsApp Image 2024-02-14 at 16.41.12 (1)

Kehadiran Pan-gon (dua dari kanan) dalam bola sepak tanah air banyak membawa perubahan positif kepada pasukan kebangsaan. — Facebook/FAM

BACA LAGI: Tak dapat lawan JDT, Akhyar dan Safawi boleh aksi ubi muda TFC dari tempat penonton

Bagaimanapun, keputusan FAM mengekalkan Pan-gon sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya dilihat akan mengecewakan penyokong Taeguk Warriors itu selepas kontrak pengendali kelahiran Korea Selatan itu disambung sehingga 2025.

“Ia adalah permintaan orang luar. FAM mempunyai rancangan sendiri untuk memastikan apa sahaja yang dilakukan ketika ini diteruskan.

“Pan-gon telah melakukannya dengan baik dan kami mahu memastikan dia meneruskan momentum itu. Skuad kebangsaan masih mempunyai pusingan kelayakan akan datang dan dia sudah mempunyai rancangan.

“Tiada permintaan daripada mana-mana persatuan untuk menunjukkan minat untuk mengambil Pan-gon.

“Kami memerlukan Pan-gon dan segala usahanya untuk Harimau Malaya telah membuahkan hasil. Kami akan mengekalkannya untuk jangka masa panjang," kata Yusoff selepas menghadiri jawatankuasa eksekutif FAM ke-10 di Wisma FAM di Kelana Jaya pada Selasa.

Selepas Piala Asia, sasaran Pan-gon seterusnya ialah membawa Malaysia ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026, yang akan menjadi yang pertama dalam sejarah negara.

Pasukan kebangsaan berada di landasan yang baik untuk kekal cemerlang kerana kini berada di puncak Kumpulan D dengan enam mata daripada dua perlawanan pertama selepas menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0.

Harimau Malaya akan menentang Oman pada 21 dan 26 Mac nanti, dan jika mereka memenangi kedua-dua perlawanan ini, Malaysia pasti akan mendapat tempat di peringkat seterusnya.

Sejak mengambil alih tugas pada 2022, pasukan pimpinan Pan-gon telah mencatat 17 kemenangan, dua seri dan lapan kekalahan dan kini berada di ranking ke-130 dunia. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram