BADAN induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memberikan segala bantuan yang mereka terdaya untuk memastikan Malaysia akhirnya mempunyai pengadil utama yang pertama di Piala Dunia.
Hal ini kerana, nama Nazmi Nasaruddin telah dipilih oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai calon pengadil yang akan bertugas di Piala Dunia 2026 yang bakal diadakan dekat Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM, pihak mereka menerusi presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin begitu komited bagi memastikan sejarah tercipta buat Nazmi apabila dia dipilih sebagai pengadil utama yang pertama di Piala Dunia kelak.
Untuk rekod, Malaysia belum pernah mempunyai wakil pengadil utama bertugas di Piala Dunia. Sebelum ini, Malaysia mempunyai Subkhiddin Mohd Salleh yang pernah bertugas sebagai pengadil keempat di Piala Dunia 2010.
BACA LAGI: Niat hati tak nak berpisah, bintang JDT beri 'hint' enggan jauh dengan Luqman Hakim?
Nazmi berpotensi menjadi pengadil utama Malaysia yang pertama bertugas di Piala Dunia. — Facebook/FAM
BACA LAGI: Tak dapat lawan JDT, Akhyar dan Safawi boleh aksi ubi muda TFC dari tempat penonton
"FAM akan terus memberi segala bantuan dan sokongan dari aspek perancangan latihan serta bantuan kepakaran ilmu pengadil kepada trio negara ini agar misi meletakan Nazmi sebagai pengadil utama dan pertama dari Malaysia di Piala Dunia, kejohanan bola sepak dunia yang berprestij tinggi akan tercapai.
"Datuk Haji Hamidin selaku Presiden FAM sangat komited dalam usaha ini yang mana sebelum ini tidak pernah ada mana-mana pengadil dari negara ini dipilh sebagai pengadil utama di Piala Dunia," kata FAM dalam kenyataan mereka.
Trio yang dimaksudkan oleh FAM itu adalah gandingan Nazmi bersama dua pembantu pengadil iaitu Zairul Khalil Tan dan Arif Shamil Abd Rasid. Ketiga-tiga pegawai perlawanan itu bertugas bersama-sama di Piala Asia 2023.
Di Qatar, gandingan trio tersebut bertugas ketika Iraq menewaskan Vietnam di peringkat kumpulan dan sewaktu Thailand disingkirkan oleh Uzbekistan semasa pusingan 16 pasukan terakhir.
Harapan FAM untuk Nazmi menjadi pengadil utama pertama dari Malaysia di Piala Dunia cukup tinggi. Hal ini kerana, dia adalah satu-satunya pengadil Malaysia yang diiktiraf FIFA sebagai pengadil VAR pertama dihasilkan negara.
Dengan terpilihnya Nazmi sebagai calon pengadil untuk Piala Dunia 2026, dia akan dihantar ke kursus FIFA World Cup Candidate 2026 yang akan diadakan pada 25 hingga 29 Februari di Qatar.
Sebelum ini, Nazmi mencipta sejarah menjadi pengadil Malaysia pertama yang menggunakan sistem VAR ketika mengadili perlawanan Liga Juara-Juara AFC antara Buriram United menentang Zhejiang FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram