PERSIAPAN sudah mula dijalankan oleh kelab-kelab Liga Super bagi musim baharu. Terdapat kelab yang sudah mula mengadakan latihan pra-musim bagi mendapatkan tahap kecergasan terbaik para pemain.
Walaupun begitu, sesetengah pemain masih lagi diberikan rehat oleh kelab mereka. Hal ini kerana, penglibatan dalam saingan Piala Asia 2023 tempoh hari memerlukan para pemain untuk berehat seketika sebelum kembali melaporkan diri di kelab masing-masing.
Sebagai contoh, bintang Harimau Malaya yang bermain untuk Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Arif Aiman. Pemain tersebut belum perlu melaporkan diri ke kem Harimau Selatan kerana dia masih dalam tempoh berehat selepas beraksi di Piala Asia.
Baru-baru ini, Arif didapati telah terbang ke Jepun untuk menghabiskan tempoh rehatnya di sana. Dia bersama-sama seorang lagi pemain JDT, Shahrul Saad makan angin di negara matahari terbit tersebut untuk 'cas' semula tenaga sebelum kembali ke Malaysia.
Sambil berjalan di Jepun, mereka sempat meluangkan masa dengan seorang pemain negara yang beraksi di sana iaitu Luqman Hakim. Luqman kini beraksi bersama kelab J3 League (divisyen tiga) iaitu YSSC Yokohama.
Luqman baru saja diperkenal sebagai pemain baharu kelab tersebut dengan dia merupakan sebahagian daripada lapan rekrut YSSC Yokohama pada musim 2024. Untuk rekod, Luqman hanya dipinjam oleh YSSC Yokohama daripada kelab asalnya iaitu KV Kotrijk di Belgium.
BACA LAGI: Selain 'cuti lama', Daniel Ting jujur akui kesilapan sendiri lepas Sabah tersingkir
Dua pemain negara bertemu sesama sendiri di Jepun. — Instagram/@arifaiman42
BACA LAGI: Masa depan masih misteri, Adam Nor Azlin tekad mahu sarung semula jersi Harimau Malaya
Apa yang menarik mengenai pertemuan mereka adalah siaran Instagram Story (IG Story) yang dimuat naik oleh Arif selepas pertemuan antara dua pemain tersebut.
Pemain sayap JDT itu menyiar semula (repost) siaran IG Story Luqman yang mengatakan, "Semoga berjaya kawan, jumpa nanti."
Tetapi apa yang menariknya, Arif meletakkan lagu daripada kumpulan Arrow iaitu Niat Hati Tak Nak Berpisah. Ia seolah-olah memberikan hint kepada semua apa yang terbuku dalam hatinya.
Arif mungkin memilih untuk tidak mahu berpisah jauh dengan Luqman kerana faktor persahabatan mereka.. Disebabkan itu, dia lebih cenderung untuk sentiasa dekat dengan penyerang muda tersebut.
Ia turut boleh menjadi petanda yang jika benar Arif mahu sentiasa dekat dengan Luqman bermaksud pemain tersebut mendambakan peluang untuk beraksi di luar negara terutamanya Jepun.
Sebelum ini, telah timbul cakap-cakap mengenai potensi Arif boleh dikembangkan dengan pemain tersebut boleh beraksi di luar negara seperti dekat Jepun dan Korea Selatan.
Namun begitu, masih belum ada sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana kelab buat pemain tersebut.
Pastinya ramai teruja untuk melihat lebih ramai pemain Malaysia beraksi di luar negara. Jika kita teruja untuk saksikan bagaimana Luqman cuba menggegar Jepun, begitu juga pandangan kita terhadap Arif, mampukah dia menyerlah di liga utama Asia jika diberikan peluang? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram