Piya bakal ikut jejak YB Baddrol?


  • Podium
  • Ahad, 11 Feb 2024

Baddrol (kiri) dan Badhri (kanan) bertemu sesama sendiri pada Sabtu. — Instagram/@bakhtiarbaddrol

DI era moden bola sepak Malaysia, kita sangat beruntung dapat menyaksikan dua ikon yang menjadikan jeneral di bahagian tengah.

Baddrol Bakhtiar dan Badhri Radzi merupakan ikon Liga Malaysia. Kedua-duanya begitu sinonim dengan kelab Kedah Darul Aman FC serta Kelantan FC.

Bagi Baddrol, dia merupakan antara alumni Kedah yang berjaya mendapatkan gelaran double treble sewaktu era Allahyarham Azraai Khor Abdullah.

Baddrol menjadi nama penting selain daripada Khyrill Muhymeen, Nelson Sam Martin serta Marlon Alex James yang membuatkan Kedah begitu sukar dicabar pada pertengahan 2000-an.

Selain itu, dia juga cemerlang bersama skuad Harimau Malaya. Baddrol merupakan ketua pasukan skuad Sukan SEA yang memenangi acara bola sepak di kejohanan yang diadakan dekat Indonesia pada 2011.

Sementara Badhri pula cemerlang bersama Kelantan pada awal 2010-an apabila berjaya membantu The Red Warriors memenangi gelaran treble.

BACA LAGI: Luqman Hakim nekad jadi ‘top scorer’ seluruh Jepun lepas sah diperkenal secara rasmi YSSC Yokohama

WhatsApp Image 2024-02-10 at 22.32.07

Mereka merupakan legenda bola sepak Kedah dan Kelantan. — Instagram/@bakhtiarbaddrol

BACA LAGI: Sampai kena terapi, Saddil Ramdani bergenang mata emoji tak dapat ikut Sang Badak terbang ke Australia

Gandingan di bahagian tengah yang cukup serasi dengan Shakir Shaari membuatkan bahagian tersebut amat sukar untuk ditembusi pihak lawan.

Kini kedua-dua pemain telah membawa haluan masing-masing apabila Badrrol kini menjadi ahli politik di Kedah dan Badhri sudah tidak beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Pada Sabtu, Baddrol memuat naik gambarnya bertemu dengan Badhri di Instagramnya menerusi Instagram Story. Dalam siaran itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun itu meletakkan gambar mereka berdua bertemu berlatar belakangkan lagu Kumpulan Padi, Sahabat Selamanya.

Perkara tersebut menimbulkan spekulasi adakah Baddrol sedang dalam usaha untuk menyunting Badhri menyertai dunia politik.

Memandangkan kedua-duanya merupakan ikon di negeri masing-masing, mungkin tidak mengejutkan sekiranya Baddrol dalam usaha mengikat Bahdri untuk menyertai parti politiknya dalam usaha mengukuhkan cengkaman di Kelantan.

Namun jika itu bukanlah tujuan bertemu, berkemungkinan ia tidak lebih daripada perjumpaan santai antara dua bekas pemain kebangsaan.

Badhri barangkali hadir untuk menyokong projek pasukan bola sepak Baddrol yang dikenali BB7 yang membuka peluang kepada pemain tempatan Gurun berusia 17 hingga 39 tahun menyertainya.

Atau mereka sekadar duduk sambil menikmati secawan teh mengenangkan kisah lama yang di saat masih bergelar pemain profesional.

Pelbagai perkara boleh berlaku dalam pertemuan tersebut. Mungkin akan ada sesuatu yang menarik bakal tiba daripada mereka kelak? Siapa tahu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram