Nama 2 bintang JDT, permata Selangor disebut sesuai dengan hint Akmal Rizal


  • Podium
  • Selasa, 13 Feb 2024

Akmal Rizal berkongsi Penang FC akan mengambil seorang pemain Piala Asia 2023. — Facebook/FAM

PENANG FC juga tidak terkecuali daripada menjadi pasukan yang sedang berusaha keras dalam membuat perubahan seperti merekrut pemain baharu sebagai cara untuk mengangkat kelab ke kedudukan lebih baik dari musim sebelumnya.

Dengan jendela perpindahan yang sedang berlangsung, pengendali baharu Harimau Kumbang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli sudah perlahan-lahan memberi petunjuk mengenai wajah baharu untuk membantu Penang menghadapi saingan liga yang lebih kompetitif.

Sebelum ini, heboh apabila pengendali berusia 42 tahun itu memuat naik gambar tiga gambar bendera dari benua Amerika Selatan (Brazil dan Chile) dan Rwanda yang terletak di Afrika Timur di laman X peribadinya.

Walaupun tanpa sebarang konteks namun penyokong seakan-akan dapat menangkap bahawa tiga foto berkenaan adalah merujuk kepada negara asal bakal pemain import baharu kelab Utara tanah air tersebut.

Selepas digembirakan dengan petunjuk berkenaan, pengendali kelahiran Jitra, Kedah itu sekali berkongsi bahawa Penang FC akan diperkuatkan dengan seorang pemain yang beraksi bersama Malaysia pada kempen Piala Asia 2023 di Doha, Qatar.

"Saya tidak boleh dedahkan lagi sebab kita tunggu pengumuman rasmi tapi apa yang boleh saya kata, akan ada seorang pemain yang berada dalam skuad di Qatar (Piala Asia 2023) baru-baru ini.

"Kita akan bawa masuk lima pemain baharu, enam pemain dari skuad bawah 23 tahun Penang FC dan 14 pemain dari skuad yang lepas ini dikekalkan," katanya memetik laporan Harian Metro.

BACA LAGI: Sesuai dengan hint 3 negara, Akmal Rizal sahkan Penang guna 3 import

SYAMER

Syamer juga sebahagian pemain Piala Asia baru-baru ini. — Facebook/FAM

BACA LAGI: Lepas bantu TFC II juarai Piala MFL, bek tengah lasak disebut-sebut 'kemas beg' ke Penang

Klu mengenai pemain Piala Asia berkenaan semakin mengghairahkan penyokong sehingga beberapa nama seperti dua bintang Johor Darul Takzim (JDT), Endrick Dos Santos dan Syamer Kutty Abba serta permata penjaga gol Selangor, Sikh Izhan sudah mula meniti di bibir pemain ke-12 Penang.

"Dapat Syamer kah? Kalau pemain import cedera, Syamer dapat ganti bahagian tengah," kata penyokong Penang, Mohamad Zul Helmi.

"Sikh Izhan rasanya sebab seorang sahaja Penang ambil dari skuad Piala Asia," tambah penyokong Harimau Kumbang, Mohammad Razman Abd Rahim.

Syamer dan Endrick bukan nama asing bagi skuad Haria Penang Haria kerana dua pemain tengah JDT berkenaan sebelum ini pernah membantu Harimau Kumbang mengharungi saingan Liga Malaysia.

Sementara itu, nasib Sikh Izhan yang menyertai semula Gergasi Merah selepas dipinjamkan dari Negeri Sembilan masih samar-samar untuk beraksi kerana kehadiran Samuel Somerville, Khairulazhan dan penjaga gol baharu, Azim Al-Amin.

Untuk rekod, Sikh Izhan turut merekodkan pencapaian yang cemerlang bersama skuad Jang selepas meraih 27 penampilan sepanjang musim 2023 selain merupakan penjaga gol ketiga skuad Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram