PEMILIK jersi nombor tujuh Terengganu FC (TFC) bagi musim 2024/2025 belum lagi ditemui selepas kali terakhir menyaksikan penyerang Croatia, Ivan Mamut yang menyarungnya pada tahun lepas.
Namun selepas Mamut berhasil membuktikan dirinya sebagai seorang penyerang tengah sejati pada musim 2023, barisan pengurusan dan kejurulatihan Terengganu memutuskan untuk memberinya nombor sembilan, yang lebih serasi untuk posisinya sebagai pencetak gol.
Kini, gerangan individu yang bakal menyarung jersi ikonik berkenaan masih kekal menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong lagi-lagi calon terdekat seperti Safawi Rasid dan Nurillo Tukhtasinov sudah diberikan nombor lain.
Menerusi pengumuman terbaharu dari Facebook rasmi skuad Sang Penyu, Nurillo yang dilabel sebagai Raja Formula TFC difahamkan mewarisi jersi Habib Haroon bernombor 10 bagi saingan musim baharu ini.
Manakala, Safawi yang juga pemain pinjaman Johor Darul Takzim (JDT) berkenaan pula diberikan jersi nombor 11 serta dijangka ditugaskan untuk beraksi di posisi sayap dan jentera tengah Terengganu.
BACA LAGI: [VIDEO] Lepas Safawi-Akhyar, khabarnya Ismahil Akinade antara 3 nama besar 'OTW' ke Terengganu
Ismahil ketika beraksi bersama Kelantan pada awal musim 2023. — Facebook/TRW
BACA LAGI: [VIDEO] Duo SRxAR diumum pemain baharu TFC, beri amaran awal kekuatan jentera serangan Sang Penyu
Oleh itu, penyokong mula mengaitkan beberapa nama dikaitkan bakal ke Terengganu seperti bekas peledak Kelantan, Ismahil Akinade yang berpotensi menjadi pemilik jersi nombor 7 skuad Sang Penyu.
Khabar angin Ismahil ke bumi Darul Iman bermula selepas ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner pernah menyuarakan hasrat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 30 tahun kelahiran Nigeria itu.
Untuk rekod, bersama The Red Warriors (TRW) dan Kelantan United musim ini, Akinade telah beraksi sebanyak 25 kali dalam saingan Liga Malaysia sambil mencatatkan 10 gol serta enam bantuan jaringan.
Jika Ismahil menyarung jersi berkenaan, penyokong mungkin akan menyaksikan Steinbruckner mempertaruhkan dua penyerang iaitu Ismahil dan Mamut di jentera depan Terengganu dengan diapit oleh Safawi serta Akhyar untuk bahagian sayap pasukan.
Bagaimanapun, perpindahan terbabit masih belum diumumkan secara rasmi dan kehadiran Ismahil ke Terengganu juga masih kekal misteri dengan statusnya kekal sebagai khabar angin dalam kalangan penyokong.
Untuk rekod, jersi nombor 7 Terengganu sebelum ini disarung oleh penyerang sayap sensasi, Faisal Halim selama dua tahun sebelum pemain mesra dengan sapaan Mickey berkenaan berhijrah ke Selangor FC pada musim 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram