Tiga tahun cipta jenama, GTR Burger rancang buat 2 menu istimewa


Perniagaan GTR Burger berkembang pesat dalam masa tiga tahun sejak 2021.

JENAMA Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR) Burger sememangnya tidak perlu lagi diperkenalkan, tambahan pula bakal menjadi penaja Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selama tiga tahun bermula musim 2024.

Popular sebagai Burger Jalanan, kini GTR Burger berjaya mencipta namanya dengan menempatkan lebih 300 gerai di seluruh negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurut pengasas GTR Burger, Nordin Mat, pada awal perniagaannya yang bermula pada 2021, mereka cuba memasarkan produk di kawasan Lembah Klang, Kuala Lumpur dan sama sekali tidak menyangka mampu menerima sambutan yang baik daripada pelbagai pihak.

Dengan itu, pihak GTR Burger dalam fasa untuk mengembangkan perniagaan daripada 300 gerai ke 1,000 gerai.

"Itu misi kami. Kami juga mahu transformasi daripada perniagaan jalanan ke restoran yang lebih bagus," katanya kepada Majoriti.

Setiap langkah yang dibuat pasti memiliki perancangan tersendiri, Nordin mendedahkan motif perniagaan GTR Burger adalah untuk membantu industri ruminan negara.

"GTR Burger sebenarnya daripada persatuan penternak ruminan iaitu penternak lembu dan kambing di seluruh Malaysia.

"Jadi kami wujudkan satu koperasi GTR untuk kami keluarkan produk inti daging segar tempatan," katanya.

BACA LAGI: Identiti maju bola sepak Selangor jadi faktor utama FAS, GTR Burger wujudkan kerjasama

2533285

Kerjasama antara FAS dan GTR Burger pasti akan merancakkan arena bola sepak tanah air.

BACA LAGI: [VIDEO] Lega lepasi tekanan awal, Steffi akui puas MBSJ ke pentas akhir

Bersempena penajaannya terhadap FAS, GTR Burger memiliki perancangan untuk mencipta dua burger istimewa buat pelanggan iaitu burger ikon dan burger legend.

Burger istimewa ini akan menampilkan gambar ikon Persatuan Bola Sepak Selangor dan juga bekas pemain lejen Selangor pada penyediaan produk berkenaan.

"Burger ikon itu semestinya kita akan buat yang istimewa dan takkan sama dengan burger-burger sebelum ini.

"Mungkin kita akan buat kotak burger dengan menunjukkan gambar ikon tersebut yang boleh dikumpulkan peminat-peminat, namun semuanya masih dalam proses rundingan bersama FAS," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram