[VIDEO] Bolos 3 gol, bekas pemain Manchester naik angin sampai pukul kamera


  • Podium
  • Ahad, 11 Feb 2024

Tangkap layar ketika Sane melemparkan kemarahannya ke arah kamera perlawanan yang terletak di kawasan penjaga gol.

KUASA besar Bundesliga nampaknya bakal bertukar tangan apabila Bayer Leverkusen tidak mempunyai masalah untuk membenam Bayern Munich 3-0 di Stadium BayArena, Leverkusen, Jerman pada Ahad.

Keputusan yang berpihak pada pasukan tuan rumah berkenaan menyaksikan skuad kendalian Xabi Alonso mengaut tiga mata penuh dari Bayern Munich dan kini gah berada di puncak liga dengan 55 mata.

Skuad kendalian Thomas Thucel yang sudah merekodkan tiga kekalahan dalam 21 perlawanan berkenaan pula berada di tangga kedua liga dengan 50 mata.

Jaringan kemenangan Bayer Leverkusen disumbangkan menerusi cetakan gol dari pemain pinjaman Bayern, Josip Stanisic pada minit ke-18, Alex Grimaldo (50’) dan Jeremie Frimpong meraih gol ketiga pada masa kecederaan.

BACA LAGI: Kita pasukan yang baik, boleh kalahkan Bayern Munich — Ten Hag

BACA LAGI: [VIDEO] Bek tengah lasak sanggup tolak tawaran lumayan Bayern demi kelab EPL

Tiga jaringan Leverkusen itu bukan hanya meranapkan impian Bayern untuk menjadi pasukan pertama untuk menewaskan skuad kendalian Alonso musim ini, keputusan berkenaan juga mengecewakan para pemain.

Menerusi satu video tular di laman X, penyerang sayap kanan Bayern, Leroy Sane dilihat menumbuk kamera perlawanan sejurus wisel penamat perlawanan dibunyikan oleh pengadil.

Tumbukan padu bekas pemain Manchester City yang menghancurkan kamera berkenaan itu boleh merumuskan tekanan dalam kem Bayern semakin meningkat dalam misi mempertahankan kejuaraan Bundesliga.

Pemain berusia 28 tahun itu sememangnya dikenali dengan sifat panas baran dan pada musim lepas Sane juga dilaporkan bergaduh dengan Sadio Mane di bilik persalinan selepas kekalahan suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah 2023 di tangan Manchester City. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram