PASUKAN Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur dilaporkan sudah selesai menandatangani bek tengah dari Genoa, Radu Dragusin dengan nilai perpindahan melebihi RM153 juta (£25.9 juta).
Keputusan membawa masuk pemain antarabangsa Romania itu dibuat bagi menyelesaikan isu kekurangan pilihan di posisi itu akibat kecederaan melanda kelab London berkenaan.
Dragusin yang baru sahaja berusia 21 tahun menjadi sasaran utama selepas pengurus pasukan, Ange Postecoglou cukup berminat dengan kebolehannya di liga Itali.
Bagaimanapun, usaha tersebut tidaklah mudah apabila laporan antarabangsa mengatakan kelab Jerman, Bayern Munich hampir mendapatkan khidmatnya.
Dragusin merupakan seorang bek tengah yang cukup dimahukan kelab-kelab sekitar Eropah. — Agensi
Meskipun membuat tawaran mencecah RM157.74 juta (£26.7 juta), kelewatan dalam mencatur langkah menyaksikan mereka terlepas peluang mendapatkan pemain pertahanan itu.
Kegagalan terbabit pastinya menjadi satu tamparan hebat buat juara Bundesliga 11 kali berturut-turut tersebut selepas mereka kehilangan khidmat Kim Min-jae yang beraksi di Piala Asia nanti.
Selain itu, khabar angin di media sosial mengatakan Bayern Munich juga menawarkan gaji lebih tinggi berbanding Tottenham dalam usaha mereka mengukuhkan lagi barisan pertahanan.
Ketika ini, Dragusin dilaporkan sedang dalam perjalanan ke London, United Kingdom untuk menjalani sesi pemeriksaan kesihatan sebelum perpindahan itu disahkan.
Dragusin dalam perjalanan ke London untuk melengkapkan perpindahannya.
Sebelum ini, pemain berkenaan pernah beraksi di beberapa kelab sekitar Itali, termasuk Juventus meskipun kurang mendapatkan minit permainan dengan usianya yang masih muda.
Kehadiran bek tengah dengan ketinggian 1.91 meter (m) itu menyaksikan Spurs kini memiliki pilihan cukup baik di posisi bek tengah meskipun Mickey van de Ven dan Christian Romero masih mengalami kecederaan.
Bagi Bayern Munich pula, mereka dilaporkan turut berminat mendapatkan bek tengah antarabangsa England, Eric Dier yang kurang diberikan peluang dalam skuad kendalian Postecoglou.
Selain melengkapkan perpindahan itu, Tottenham juga sudah membawa masuk bekas penyerang Chelsea, Timo Werner secara pinjaman dari kelab Bundesliga, RB Leipzig awal minggu lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram