Kita pasukan yang baik, boleh kalahkan Bayern Munich — Ten Hag


  • Podium
  • Selasa, 12 Dis 2023

Pengurus dari Belanda itu mula diberikan tekanan selepas prestasi tidak menentu dalam kesemua kejohanan musim ini. — Agensi

KEDUDUKAN pengurus Manchester United, Erik ten Hag ketika ini semakin goyah memandangkan rekod pasukan yang semakin tidak menentu di peringkat domestik dan Eropah.

Mereka yang baru sahaja merekodkan 27 mata daripada 16 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) kini berada di tangga keenam dengan tiga mata membezakan skuad The Red Devils dengan Tottenham Hotspur di kedudukan kelima.

Prestasi tidak memberangsangkan turut disaksikan dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dengan mereka terperosok di dasar carta Kumpulan A selepas lima perlawanan.

Situasi tersebut menyaksikan rata-rata penyokong Manchester United mula mendesak supaya pengurus kelahiran Belanda terbabit supaya digugurkan dengan segera.

Bagaimanapun, desakan bertali-arus itu seperti tidak dipedulikan pihak pengurusan kelab yang bertegas untuk memberikan masa kepada ten Hag.

Pengurus berusia 53 tahun tersebut juga dilihat masih berminat untuk menyuntik perubahan buat skuad The Red Devils dengan berikrar pasukannya kini cukup berkualiti.

r1264196_1296x729_16-9

Manchester United mengalami kekalahan memalukan di tangan Bournemouth baru-baru ini. — Agensi

Penegasan itu dibuat dalam satu sesi sidang media sebelum aksi UCL antara Manchester United dengan pendahulu Kumpulan A, Bayern Munich yang sudah menempah tiket untuk ke peringkat seterusnya.

"Kita mampu menundukkan setiap lawan yang kita hadapi. Esok (Rabu), saya tahu kita perlu menang dan saya yakin melihat kepada kebolehan ketika ini.

"Stadium Old Trafford bukanlah tempat yang mudah untuk dikunjungi mana-mana pasukan. Selagi mana saya masih di sini, kita akan melakukannya secara bersama-sama," katanya.

Pada Sabtu lalu, ten Hag menjadi bahan bualan ramai selepas skuad The Red Devils mengalami kekalahan mengejutkan 0-3 di laman sendiri kepada Bournemouth dalam saingan EPL.

Kekalahan berkenaan menyaksikan pasukan tersebut sudah tewas sebanyak tujuh kali dalam liga musim ini dengan rekod terbabit merupakan antara yang terburuk dalam kalangan 10 pasukan teratas.

Kemenangan ke atas Bayern Munich akan menyaksikan Manchester United berpeluang ke peringkat kalah mati UCL sekiranya satu lagi aksi antara Copenhagen dan Galatasaray berakhir dengan keputusan seri. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram