[VIDEO] Tindakan Adam Nor Azlin 'warning' penjaga gol PDRM cekik pemain muda JDT wajar dipuji


  • Podium
  • Khamis, 26 Okt 2023

Adam Nor Azlin kini banyak beraksi bersama JDT II apabila dia merupakan kapten pasukan untuk membimbing pemain-pemain muda. — Facebook/JDT

PERLAWANAN di antara JDT II dan PDRM FC dalam aksi Piala MFL telah dicemari dengan beberapa insiden yang tidak diingini meskipun kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1 dalam aksi Piala MFL pada Rabu.

Dua insiden pergaduhan berlaku apabila pemain-pemain muda PDRM gagal mengawal emosi sekali gus melakukan reaksi ganas terhadap pemain JDT II.

Baru memasuki 11 minit permainan, penjaga gol PDRM, Nor Hakeem bertindak secara kasar apabila mengunci kepala pemain sayap Harimau Selatan, Najmudin Akmal.

Ia disebabkan penjaga gol itu tidak berpuas hati dengan tindakan Najmudin yang cuba menguis bola meskipun sudah ditangkap oleh Nor Hakeem.

Insiden itu memaksa kapten pasukan, Adam Nor Azlin masuk campur untuk tangani isu tersebut dengan memberi amaran kepada Hakeem agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Tindakan kapten berusia 27 tahun itu wajar menerima pujian apabila dia berada tepat dalam situasi tersebut untuk menghalang pemain-pemain muda JDT II yang lain daripada terus bergaduh.

Perbuatan berbahaya tersebut menyebabkan Nor Hakeem dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan.

Sebelum tamat perlawanan, sekali lagi insiden pergaduhan berlaku selepas Fakhrullah Yusoff (PDRM) gagal mengawal emosinya terhadap Aysar Hadi apabila berlakunya pertembungan dalam kawasan kotak penalti Harimau Selatan.

Fakhrullah kemudiannya menanduk Aysar Hadi dan berlaku kekecohan antara pemain JDT dan PDRM sebelum berjaya dileraikan oleh pengadil.

Pemain PDRM itu bernasib baik kerana terlepas daripada layangan kad oleh pengadil perlawanan meskipun memulakan pergaduhan tersebut.

JDT kini berada di tangga kedua saingan Piala MFL dengan 11 mata manakala PDRM pula di keduduka kelima dengan sembilan mata selepas perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram