Selain Adam Nor Azlin, 3 lagi CB dilihat calon terbaik perkukuh benteng Perak FC musim depan


  • Podium
  • Selasa, 12 Dis 2023

Pada musim ini, Perak FC merupakan pasukan ketiga paling banyak dibolosi iaitu 52 gol bolos. — Facebook/PerakFootballClub

BERBAKI satu perlawanan Liga Super 2023, Perak FC dijangka masih boleh mencapai sasaran diletakkan pengurusan pasukan.

Sasaran dimaksudkan adalah memastikan kelab memungut sekurang-kurangnya 25 mata pada saingan liga musim ini.

Pada ketika ini, skuad The Bos Gaurus (TBG) yang berada di kedudukan kesebelas daripada 14 pasukan sudah berjaya mengumpul sebanyak 22 mata, hanya tiga mata kurang daripada sasaran di tetapkan.

Sehubungan itu, pasukan kendalian Yusri Che Lah perlu sekurang-kurangnya merekodkan kemenangan ketika menentang pasukan di tangga Terengganu FC pada Ahad depan.

Misi meraih tiga mata itu bukanlah sesuatu yang mustahil.

Ini kerana pada musim ini, skuad kendalian Yusri Che Lah pernah merekodkan kemenangan mengejutkan apabila bertemu pasukan yang berada di kedudukan lebih tinggi iaitu Kedah Darul Aman FC pada saingan Piala Malaysia 3 Ogos lalu.

406603239_363008476279534_6750062484614468108_n

Pengendali pasukan Perak FC, Yusri Che Lah. — Facebook/PerakFootballClub

Kejayaan menewaskan skuad Sang Kenari itu sekiranya dicapai pastinya menjadi satu pencapaian yang sangat perlu dibanggakan sekali gus menutup musim ini dengan mesej yang positif.

Bagaimanapun, bagi menghadapi musim baharu 2024, barisan pengurusan Perak FC tentunya perlu mempunyai perancangan lebih rapi khususnya dalam aspek penyediaan pemain.

Kisah prestasi yang berlaku pada awal musim ini seharusnya dijadikan sebagai pengajaran yang tidak harus diambil ringan.

Dalam pada itu, penambahbaikan pemain juga dilihat perlu diberikan perhatian di beberapa posisi untuk membolehkan pasukan bersaing dengan lebih kompetitif pada musim baharu akan adatang.

Antara yang menjadi tumpuan pastinya adalah keperluan memastikan kestabilan di barisan pertahanan pasukan.

Pada musim ini, Perak FC merupakan pasukan ketiga paling banyak dibolosi, iaitu dengan 52 gol bolos, berada di atas Kelantan United FC (63 bolos) dan Kelantan FC (115 bolos).

Jumlah bolos direkodkan itu juga dilihat masih agak jauh dengan pasukan di pertengahan liga antaranya seperti Terengganu FC (34 bolos) dan Kuala Lumpur (KL) City FC (39 bolos).

Justeru, bagi mencapai tahap kualiti untuk menempatkan diri di kelompok pertengahan, pasukan TBG pastinya perlu membuat sedikit rombakan pemain di bahagian pertahanan.

Buat masa ini, terdapat beberapa pemain pertahanan yang mula dikaitkan dengan perpindahan ke Perak FC.

Antara nama yang timbul ialah pemain bek tengah Johor DaruL Takzim (JDT), Adam Nor Azlin.

Namun, selain bekas pemain Selangor itu, terdapat tiga lagi nama pertahanan yang mungkin boleh direkrut TBG bagi memperkukuhkan benteng pertahanan pasukan pada musim depan.

1. Shahrul Saad

2337789

Shahrul ketika berlatih bersama skuad JDT. — Facebook/JST

Nama Shahrul Saad sememangnya menjadi antara nama yang sentiasa meniti di bibir peminat skuad Seladang.

Mana tidaknya, ketika bersama Perak FC, dia yang merupakan kapten pasukan dilihat menjadi tulang belakang kepada kejayaan pasukan termasuk ketika merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada 2018.

Pada waktu ini, Shahrul, 30, yang beraksi di posisi bek tengah hampi memasuki musim ketiganya bersama kelbag gergasi tanah air, JDT.

Meskipun begitu, sepanjang bersama skuad Harimau Selatan, dia yang juga terkenal dengan panggilan Badak dilihat gagal secara konsisten untuk menjadi pilihan utama jurulatih.

Pada musim ini, hanya membuat sebanyak sembilan perlawanan di Liga Super dan didapati menjadi pilihan keempat di belakang Jordi Amat, Feroz Baharudin dan Shane Lowry.

Sebagai anak jati Perak, tarikan untuk berbakti kepada pasukan bola sepak negeri kelahiran tentunya menjadi sesuatu yang sukar ditolak sekiranya tawaran yang sesuai diberikan kepadanya.

Dengan mendapat minit permainan lebih konsisten, ia pastinya memberikan peluang buat Shahrul bagi membuktikan kehebatannya sebagai antara bek tengah terbaik negara.

Apatah lagi, dengan usia yang baru memasuki 30-an, dia mempunyai sekurang-kurangnya empat tahun lagi untuk beraksi di tahap tertinggi termasuk bagi mewakili Harimau Malaya.

Pada masa sama, sekiranya digandingkan bersama pertahanan import Perak FC, Jesper Nyholm, ia tentunya akan membina gandingan yang cukup mantap di bahagian pertahanan pasukan.

2. Zikri Khalili

1980494

Zikri merupakan pilihan kedua di belakang Quentin bagi perebutan posisi bek kiri Selangor FC. — Facebook/Selangor FC

Bagi yang mengikuti perjalanan skuad muda kebangsaan, Zikri Khalili, 21 bukanlah nama yang begitu asing.

Ini kerana pemain Selangor FC yang beraksi di posisi bek kanan ini merupakan individu yang diberikan tanggungjawab bagi memakai lilitan kapten pasukan skuad bawah 23 tahun (B-23).

Pemilihan itu sendiri merupakan satu petanda berkenaan dengan reputasi dan kredibiliti dimiliki anak jati Selangor ini.

Namun, pada musim ini, Zikri dilihat masih bergelut untuk mendapat tempat sebagai pemain utama di bahagian pertahanan pasukan, iaitu posisi yang kini lebih kerap diberikan kepada Quentin Cheng.

Sebagai pemain muda, Zikri kini dilihat sedang dalam tempoh cukup penting untuk memastikan kesinambungan perkembangannya ke tahap pemain profesional.

Untuk itu, minit permainan merupakan satu elemen yang cukup berharga diperlukan bagi membolehkannya membina prestasi mengikut potensi yang dimilikinya.

Disebabkan itu, selain aspek kepimpinan, perpindahan Zikri yang datang daripada pasukan teratas liga pastinya turut mampu memberikan dinamik baharu terhadap mentaliti skuad kendalian Yusri.

3. Nazirul Naim Che Hashim

2158326

Nazirul ketika beraksi bersama KL City FC.

Sama seperti Shahrul, Nazirul Naim Che Hashim juga merupakan sebahagian daripada tonggak utama yang membawa kejuaraan Piala Malaysia ke bumi Perak pada 2019.

Oleh itu, kepulangan anak kelahiran Kuala Kangsar ini ke pangkuan TBG selepas berkelana ke beberapa pasukan pada musim lalu adalah sesuatu yang tidak mustahil.

Apatah lagi, dia yang beraksi di posisi bek kiri pernah kembali semula ke Perak FC selepas tempoh singkatnya dengan Sabah FC pada 2021 sebelum berhijrah ke KL City FC, iaitu kelabnya ketika ini.

Kehadiran semula Nazirul, 30, bersama pasukan Perak FC tentunya akan menyuntik elemen pengalaman ke dalam barisan pertahanan yang dilihat begitu ketara kekurangannya pada musim ini.

Daripada kesemua barisan pertahanan TBG, hanya Shivan Pillay dilihat mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya satu musim beraksi di Liga Super iaitu ketika bersama Petaling Jaya (PJ) City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram