ARENA bola sepak tanah air khususnya penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC dikejutkan dengan berita pemergian legenda jurulatih Hijau Kuning, Azraai Khor Abdullah pada Khamis di usia 71 tahun.
Anak Allahyarham, Firdaus Zainuddin memaklumkan perkara itu di Facebook pada Khamis.
Terdahulu, legenda 'double treble' Kedah itu dikejarkan ke hospital kerana diserang strok.
Azraai pada mulanya dikatakan masih kritikal sebelum akhirnya disahkan meninggal dunia kerana kegagalan jantung berfungsi.
"Assalamualaikum kepada yang mengenali dan membaca. Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat bapa saya Mohd Azraai Khor, yang telah meninggal dunia sebentar tadi, Mohon sama-sama kita berdoa agar Allahyarham ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman. Amin.
"Semoga rohnya dilimpahi dengan belas kasihan dari ALLAH Azawajalla dan semoga ALLAH mengangkat darjatnya bersama-sama dengan hambaNya yang soleh," kongsi Firdaus.
Tangkap layar hantaran dari anak Allahyarham.
Pengendali disegani para penyokong itu bukan hanya berjuang di bumi Kedah apabila Allahyarham juga pernah mengendalikan beberapa kelab seperti Terengganu FC, Perak FC, Negeri Sembilan, Sabah FC dan Kelantan.
Namun, tempohnya bersama kem Kedah pasti antara yang paling diingati apabila Allahyarham Azraai mencipta sejarah sebagai jurulatih pertama membawa pasukan tempatan meraih kejuaraan 'double treble' bagi musim 2006/2007 dan 2007/2008.
Pemain-pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Khyrill Muhymeen, Marlon Alex James serta Nelson Sam Martin merupakan tunjang kepada kecemerlangan Sang Kenari di bawah kendalian Allahyarham Azraai waktu itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram