ZAMAN kegemilangan Kedah FA pastinya ketika mereka meraih gelaran 'double treble' pada 2007 dan 2008 apabila mereka menjulang Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super untuk dua musim berturut-turut.
Pencapaian tersebut diraih dengan kehadiran pemain berkualiti yang cukup mendahagakan kejayaan dengan suntikan motivasi daripada penyokong untuk setiap hari perlawanan.
Selain itu, skuad Sang Kenari ketika itu turut dilengkapkan dengan kehadiran ketua jurulatih berkualiti, Azraai Khor Abdullah yang cukup faham akan kebolehan anak-anak buahnya.
Meskipun kini sudah hampir 15 tahun berlalu, penyokong Hijau Kuning masih tidak dapat melupakan momen indah yang pastinya tidak dapat diulangi itu.
Antara nama yang seperti masih dekat dengan mereka sehingga hari ini pastinya Azraai yang cukup berpengaruh serta pemain muda dalam skuad 'double treble' Kedah FA, Baddrol Bakhtiar.
Kejayaan 'double treble' Kedah FA pastinya sukar dilupakan penyokong Hijau Kuning.
Dia yang baru sahaja menyertai pasukan senior memilih untuk kekal mencurah bakti buat negeri kelahirannya sebelum cuba mencari angin baharu bersama Sabah FC pada 2021.
Bagaimanapun, Baddrol turut mencipta kejutan sekali lagi pada pertengahan tahun lalu apabila meninggalkan karier bola sepak untuk menceburi bidang politik ketika Pilihan Raya Negeri.
Namun, ia sekali lagi tidak menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua tokoh bola sepak Kedah terbbait yang masih difahamkan berhubung dengan kerap.
Ia dibuktikan apabila seorang pengguna Facebook, Mohammad Yaakub Yusra memuat naik sekeping swafoto memaparkan Baddrol dan Azraai di sebuah padang.
Berdasarkan perkongsian berkenaan, pertemuan itu dibuat bagi membincangkan rancangan untuk membangunkan sebuah pusat pembangunan bola sepak.
Azraai (tengah) sempat meluangkan masa bersama Baddrol (kanan) baru-baru ini. — Facebook/Mohammad Yaakub Yusra
"Hari ini (Jumaat), saya sudah hubungi coach Azraai Khor dan Baddrol Bakhtiar untuk kita buat akademi khas bola sepak sekitar Pusat Dakwah Murtadha (Madad) di Sungai Petani, Kedah.
"Bakat-bakat ini akan sertai Sekolah Maahad Integrasi yang sudah ada, cuma jadualnya sedikit berbeza," tulisnya.
Selain menawarkan peluang membangunkan bakat bola sepak, Yaakub turut berkata, pusat latihan tersebut dibangunkan untuk mendidik pelajar mengenai sukan memanah.
Tidak cukup dengan itu, mereka turut membuat tawaran menarik apabila pelajar yang menyertainya akan diberikan biasiswa dan elaun khas berdasarkan prestasi masing-masing.
"Konsepnya, pelajar-pelajar akademi akan dipilih daripada kalangan yang memang minat bermain bola dan miliki kemahiran. Kita bangunkan masing-masing dalam pembelajaran al-Quran, saham dan sukan.
"Kuota sangat terhad, jadi coach Azraai dan Baddrol akan buat jelajah di seluruh Kedah. Kita bahagikan tiga zon di Alor Setar, Sungai Petani dan Kulim/Baling. Nantikan jadual untuk venue dan tarikh," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram