[VIDEO] Malang nasib linesman, muntah tepi padang kemudian kena kad merah dengan pengadil


  • Podium
  • Rabu, 07 Feb 2024

McWilliam (kanan) diberikan kad merah kerana muntah-muntah di tepi padang semasa perlawanan antara Kilmarnock dan Dundee pada 2017.

DALAM peraturan bola sepak, kad kuning dan kad merah diperkenalkan supaya pengadil boleh mengawal disiplin para pemain dan barisan kejurulatihan ketika perlawanan.

Dengan adanya kedua-dua kad ini, pengadil boleh mengawal disiplin serta memastikan perjalanan perlawanan berada dalam keadaan lancar dan baik.

Tetapi pernahkah anda bayangkan yang pengadil menggunakan salah satu kad tersebut kepada penjaga garisan?

Itulah yang berlaku di Scotland, apabila seorang penjaga garisan diberikan kad merah oleh pengadil ketika perlawanan.

Dalam aksi Scottish Premiership antara Kilmarnock dan Dundee pada 2017, penjaga garisan bernama Andrew McWilliam secara tiba-tiba muntah-muntah di tepi padang.

BACA LAGI: Projek bina stadium baharu Selangor akhirnya bermula Selasa, proses roboh makan masa setahun

BACA LAGI: Hanya gambar poster, kehilangan Saddil Ramdani undang resah fans The Rhinos

Ketika itu, Kilmarnock sedang mengambil sepakan penjuru di separuh masa pertama dan saat Jordan Jones hendak menendang bola, dia mendapati McWilliam berada dalam keadaan kurang sihat.

Penjaga garisan itu kemudiannya pergi ke arah papan iklan elektronik dan kemudiannya muntah, ia terus mencetuskan suasana riuh dalam kalangan penyokong yang hadir dalam perlawanan tersebut.

Selesai muntah, McWilliam didekati oleh pengadil iaitu Craig Thomson untuk melihat apa yang terjadi namun malangnya dia diberikan kad merah kerana muntah.

Tindakan Thomson jelas menghiburkan penyokong yang hadir kerana kad merah yang diberikan itu tidak lebih daripada sekadar gurauan antara dua pegawai perlawanan.

Perlawanan diteruskan dan Dundee berjaya membawa pulang tiga mata hasil kemenangan 1-0 menerusi jaringan Marcus Haber.

Selepas perlawanan, pemain Kilmarnock, Kris Boyd mengatakan yang punca McWilliam mengalami muntah mungkin kerana terlalu tersiksa melihat corak permainan pasukannya yang teruk.

“Ia mungkin kerana dia melihat persembahan kami. Ia bukanlah perlawanan yang terbaik daripada kami.

“Ia disebabkan tahap (persembahan) sejak beberapa minggu lepas, bila persembahan seperti itu hadir ia amat mengecewakan. Sejak dari awal, kami sukar untuk bermain dengan baik,” kata Boyd ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram