Khalid Ali meninggal dunia lepas beberapa bulan bertarung sakit kanser


  • Podium
  • Selasa, 06 Feb 2024

Khalid Ali disahkan meninggal dunia di PPUM pada Selasa. — Astro Arena

DUNIA bola sepak hari ini dikejutkan apabila legenda skuad kebangsaan, Khalid Ali menghembuskan nafas terakhirnya selepas beberapa bulan bertarung dengan penyakit kanser pada Selasa.

Berdasarkan satu ciapan Astro Arena, Khalid yang berusia 67 tahun itu meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

"Salam takziah diucapkan buat keluarga legenda bola sepak negara, Allahyarham Khalid Ali yang disahkan meninggal dunia pada pukul 3.05 petang tadi (Selasa) di PPUM. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, al-Fatihah," tulisnya.

BACA LAGI: Raya ini mungkin saya tidak gembira — Khalid Ali

Khalid sebelum ini menerima rawatan selama beberapa minggu akibat kanser yang dialaminya dengan ia sel itu dilaporkan sudah merebak ke kepala pada Oktober tahun lalu.

Pemain tersebut pernah diangkat sebagai antara bintang terbaik bola sepak negara, terutamanya ketika membantu Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik 1980.

Selain itu, sikapnya yang lantang setiap kali berbicara mengenai sukan itu menjadikannya ikon sukar dicari ganti dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram