MUSIM lalu, Selangor FC menikmati persembahan bola sepak yang cemerlang terutamanya daripada penyerang import Ayron del Valle.
Persembahan Ayron nyata mencuri hati penyokong Selangor dengan pemain itu menjadi penjaring terbanyak Liga Super dengan 23 gol.
Kini, penyerang Colombia itu tiada lagi bersama Gergasi Merah. Perginya Ayron membuka jalan kepada pemain baharu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkanya.
Selangor dikhabarkan belum puas untuk menikmati perisa Amerika Selatan. Selepas Ayron, mereka dikhabarkan akan membawa penyerang dari Chile iaitu Ronnie Fernandez.
Untuk itu, analisis ringkas Majoriti kali ini akan merungkai siapakah penyerang berusia 33 tersebut dan apakah yang dia boleh tawarkan kepada Selangor:
1. Utiliti untuk bahagian serangan
Jika dilihat kepada data informasi Fernandez di laman Transfermarkt, Fernandez bukanlah seorang penyerang semata-mata. Sebaliknya, dia juga boleh digunakan di bahagian lain.
Selain menjadi penyerang bersifat center forward, pemain berusia 33 tahun itu juga boleh bergerak sebagai pemain sayap kiri.
Ini memberikan bayangan yang Fernandez merupakan seorang pemain yang mempunyai kelajuan yang baik untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan.
Namun begitu, jika dia benar direkrut oleh Selangor berkemungkinan besar Fernandez akan diletakkan sebagai penyerang utama kerana bahagian sayap kiri akan dikuasai oleh Faisal Halim.
BACA LAGI: Ketibaan Umar Eshmurodov jadi rekrut pertama Selangor FC
Fernandez (kiri) bermain untuk Al-Nasr SC di UAE. — Agensi
2. Sumber gol yang tajam
Sepanjang kariernya, Fernandez telah menghasilkan 87 gol untuk pelbagai kelab diwakilinya seperti Wanderers (Chile), Al-Nasr SC (Emiriah Arab Bersatu) serta Bolivar (Bolivia).
Walaupun Fernandez mungkin tidaklah prolifik seperti penyerang lain, tetapi dia masih mampu menjadi penyumbang jaringan gol yang stabil untuk Selangor.
Apa yang menarik, sumber jaringan Fernandez lazimnya terhasil daripada kaki dominannya iaitu kaki kanan. Akan tetapi, penyerang itu juga sering menghasilkan gol menerusi tandukan.
Ia memberikan bayangan Fernandez merupakan seorang pemain yang bukan saja baik menghasilkan gol menggunakan kakinya tetapi dengan kepalanya juga.
Selangor boleh dikira beruntung mendapatkan seorang penyerang yang ampuh apabila di udara dan ia dapat memastikan gawang lawan akan sentiasa dibocori. Tak dapat kaki, Fernandez akan guna kepala cari gol.
BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum Santos, skuad Pilihan Brazil uji Kedah terlebih dahulu di Darul Aman
Fernandez mempunyai kaki dominan di sebelah kanan. — Agensi
3. Jangan risau, Fernandez tak akan kekok
Sepanjang kariernya, Fernandez merupakan seorang pemain yang dianggap sebagai journeyman kerana dia telah mewakili dalam 10 kelab.
Walaupun Fernandez lazimnya menghabiskan kariernya di Amerika Selatan seperti Chile, Venezuela dan Bolivia, tetapi dia juga mempunyai pengalaman beraksi di Asia.
Sebagai rekod, Fernandez pernah beraksi dekat Arab Saudi dengan mewakili Al-Fayha serta Al-Nasr SC di UAE. Malah, ketika mewakili Al-Nasr SC, dia pernah menghasilkan jaringan sewaktu bertemu Arsenal dalam aksi persahabatan pada 2019.
Perkara itu membuktikan yang Fernandez tidak kekok dengan suasana bola sepak di Asia. Ia boleh menjadi nilai tambah kepada penyerang itu kerana suasana bola sepak Asia berbeza dengan benua lain.
Dengan pengalaman yang ada, Fernandez mungkin sukar untuk menjadi flop di Liga Super bersama Selangor. Jika benar dia menggantikan Ayron, maka Gergasi Merah memperoleh penyerang yang setara dari segi kualitinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram