Liga bola sepak Indonesia lubuk import 'reject' Liga M


  • Podium
  • Jumaat, 10 Nov 2023

Rontini (kiri) sudah diturunkan dalam 16 aksi liga dan sudah mencetak tiga jaringan gol untuk Persita Tangerang. — Agensi

PENINGKATAN kualiti Liga Malaysia (Liga M) sejak akhir-akhir ini menyukarkan pemain-pemain import untuk terus beraksi dalam kancah bola sepak negara.

Pemain import yang benar-benar berkualiti sahaja mampu bertahan dan menyerlah dalam Liga Malaysia seperti Fernando Forestieri, Bergson da Silva, Ayron del Valle, Manuel Hidalgo dan ramai lagi.

Namun bagi pemain import yang kurang kompetitif, mereka pastinya akan diberhentikan perkhidmatan menjelang jendela perpindahan ataupun memilih untuk meninggalkan pasukan akibat masalah dalaman yang berlaku.

Musim ini sahaja, sudah ada dua atau tiga pemain import berhijrah ke Liga Indonesia selepas gagal mencapai potensi dalam Liga M sekali gus negara jiran menjadi platform baharu buat mereka menunjukkan bakat.

Majoriti menyenaraikan antara empat pemain import yang gagal menyerlah dalam Liga M tetapi kini berjaya di Indonesia:

Rontini

Rontini mengambil keputusan untuk meninggalkan TRW dan menyertai kelab Liga 1 Indonesia Persita Tangerang pada Mei lalu. — Agensi

1. Christian Rontini (Persita Tangerang)

Selepas Kelantan FC bergolak akibat masalah kewangan, pemain pertahanan muda, Christian Rontini mengambil keputusan untuk meninggalkan The Red Warriors (TRW) dan menyertai kelab Liga 1 Indonesia Persita Tangerang pada Mei lalu.

Kemasukan bekas pemain Penang FC boleh dikatakan sebagai satu penambahan ideal buat skuad Pendekar Cisadane apabila dia sudah diturunkan dalam 16 aksi liga dan sudah mencetak tiga jaringan gol untuk pasukan baharunya itu.

Walaupun pasukan kendalian Luis Duran itu kini berada dalam kelompok empat terbawah liga iaitu di kedudukan ke-15 dengan memungut 19 mata perlawanan namun rekod peribadinya membantu pasukan mencetak jaringan itu wajar mendapat pujian.

Jika dibandingkan dengan aksinya bersama Kelantan FC, bek tengah itu hanya tampil dalam lima perlawanan dan bersama Penang FC pula diturunkan dalam 15 aksi Liga Super di musim 2022 namun buntu untuk mencetak sebarang gol.

Perubahan positif itu membuktikan bahawa Liga Indonesia mampu memberi peluang kedua buat pemain kebangsaan Filipina itu lebih menyinar baik sebagai bek mahupun turun ke depan membantu rakan sepasukan.

Madinda

Madinda hanya mengambil masa selama dua bulan lebih untuk menambat hati penyokong Indonesia. — Agensi

2. Levy Madinda (Persib Bandung)

Pemain pinjaman Johor Darul Takzim (JDT), Levy Madinda mula mendapat pujian oleh penyokong Indonesia kerana aksi cemerlang bersama Persib Bandung dan kini dia dilabel antara pemain tengah terbaik Liga 1 Indonesia 23/24.

Bekas pemain Sabah FC itu hanya mengambil masa selama dua bulan lebih untuk menambat hati penyokong Indonesia selepas dibawa oleh Bojan Hodak ke pasukan berkenaan pada Julai lalu.

Sebelum berhijrah ke Indonesia, musim ini pemain berusia 31 tahun itu terlebih dahulu dipinjamkan ke Negeri Sembilan FC (NSFC) namun kariernya lebih menyerlah bersama pasukan dengan jolokan Pangeran Biru itu.

Selepas tampil dalam 10 perlawanan liga dan menyumbang satu jaringan gol, Madinda secara tidak langsung membantu Persib Bandung berada pada kedudukan ketiga liga dengan memungut 27 mata.

Dengan persembahan cemerlang bersama Persib Bandung, adalah tidak mengejutkan jika pemain import dari Gabon itu akan menjadi pemain tetap pada musim berikutnya.

Julian Schwarzer (Arema FC)

Julian berjaya tampil dalam 15 perlawanan dan merekodkan dua 'clean sheets' serta dibolosi 22 jaringan. — Agensi

3. Julian Schwarzer (Arema FC)

Selepas hanya tampil dalam lima perlawanan dan dibolosi sembilan jaringan, Julian Schwarzer memilih untuk berhijrah ke Liga Indonesia selepas Aidil Shahrin lebih berminat meletakkan Wan Azraie selaku penjaga gol utama Kuching City FC.

Menyertai Arema FC secara perpindahan percuma pada Julai lalu, Julian terus menjadi pilihan utama Fernando Valente untuk meletakkannya sebagai benteng terakhir skuad Singo Edan.

Bersama Arema, Julian berjaya tampil dalam 15 perlawanan dan merekodkan dua 'clean sheets' serta dibolosi 22 jaringan.

Pemain berusia 24 tahun itu merupakan anak kepada bekas bintang Chelsea, Mark Schwarzer.

Natanael Siringoringo (PS Barito Putera)

Siringoringo memutuskan untuk pulang ke negara kelahirannya selepas menamatkan kontraknya bersama skuad TRW. — Agensi

4. Natanael Siringoringo (PS Barito Putera)

Bekas penyerang sayap Kelantan FC, Natanael Siringoringo memutuskan untuk pulang ke negara kelahirannya selepas menamatkan kontraknya bersama skuad TRW berikutan masalah gaji yang dihadapi bekas pasukannya itu.

Sebelum ini, pemain berusia 24 tahun itu dilaporkan menjadi sasaran beberapa kelab Malaysia dan Thailand namun Natanael akhirnya memilih untuk menyertai kelab Indonesia, PS Barito Putera.

Natanael secara rasminya diumumkan menjadi sebahagian daripada skuad Laskar Antasari pada Ahad lalu, yang mana pasukan itu berharap kehadiran penyerang sayap itu dapat memperkasakan lagi bahagian serangan Barito Putera bagi pusingan kedua Liga 1 Indonesia.

Pemain kelahiran Medan itu mengiktiraf PS Barito Putera sebagai antara pasukan besar di saingan Liga 1 Indonesia dan mengakui keputusannya menyertainya adalah kerana pengendali kelab, Rahmad Darmawan.

Bersama TRW musim ini, Natanael merupakan antara arkitek penting buat skuad kendalian Alfredo Vera apabila dia merekodkan tiga jaringan dan dua bantuan gol dalam tujuh perlawanan terakhir Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram