Selepas rintihan isteri Nazirul Naim, KL mahu selesaikan isu berbangkit sebelum sepak mula Liga Super


  • Podium
  • Ahad, 04 Feb 2024

Tangkap layar keadaan Nazirul (kiri) yang dikongsikan oleh isterinya pada Insta Story.

KUALA Lumpur (KL) City FC mahu menjelaskan saki-baki hutang 2023 mereka terlebih dahulu sebelum membuat perancangan untuk musim 2024.

Itu kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Stanley Bernard Samuel yang mahu menjelaskan tunggakan gaji sebelum mengumumkan perpindahan pemain untuk 2024.

Difahamkan, kelab itu masih berhutang gaji pemain selama beberapa bulan dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sudah menghantar surat kepada kelab untuk mewakili beberapa pemain.

“Disebabkan liga bermula Mei, kami tidak akan memulakan projek 2024 sepenuhnya.

"Kami sedang menyusun rancangan bersama-sama. Kami sudah buat temu janji dan cuba mendapatkan pemain yang terlibat.

"Kami mahu memastikan 2023 diselesaikan. Beberapa isu perlu ditangani, kami mahu melaksanakannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Stanley Bernard juga akui pihak pengurusan skuad Warga Kota kini sedang dalam usaha untuk mencari pelabur bagi membantu memantapkan lagi kewangan KL City FC menjelang musim baharu.

BACA LAGI: Nazirul Naim cedera, isteri kesal kelab Liga Super tak jenguk di hospital dan lepas tangan isu gaji

kl

Stanley Bernard (kanan) memberi jaminan akan menyelesaikan isu gaji sebelum liga 2024 bermula. — Agensi

BACA LAGI: Nafi tunggak gaji 4 bulan, Khalid dan Stanley buat pinjaman peribadi demi KL City

"Liga akan bermula pada Mei, jadi kami mempunyai sedikit ruang untuk melakukan perancangan 2024 kami nanti. Kami sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa orang akan menyertainya bagi menyelesaikan 2023 dan 2024.

"Ia adalah satu tindakan tanggungjawab. Kami mahu menyelesaikan perkara penting terlebih dahulu sebelum kami mengumumkan pemain baharu untuk musim akan datang.

"Kami berminat untuk mencari pelabur untuk membantu kami melalui musim ini. Kami mahu memastikan pemain mendapat gaji mereka untuk 2023 dan memastikan kami bermula dengan cemerlang pada 2024. Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, saya tidak akan berputus asa,” jelasnya.

Sebelum ini, isteri Nazirul Naim Che Hashim meluah rasa kekecewaannya terhadap pihak pengurusan KL City yang tidak lagi melunaskan gaji para pemain termasuk suaminya sehingga ia menjejas kehidupan peribadi.

Isteri bekas pemain Perak itu memuat naik video Nazirul sedang memakai baju pesakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan keadaan lututnya sedang berbalut dengan plaster.

“Tersidai juga. Tiada gaji, tiada pengurusan datang tengok. Lepas tangan macam itu saja,” tulis isteri Nazirul di Insta Story yang menggunakan nama akaun Instagram, Norwahila pada Jumaat lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram