Nazirul Naim cedera, isteri kesal kelab Liga Super tak jenguk di hospital dan lepas tangan isu gaji


  • Podium
  • Jumaat, 02 Feb 2024

Nazirul berhijrah ke KL City pada awal musim 2023 selepas berpisah dengan Sabah FC. — Facebook/KLCity

NASIB pemain Liga Malaysia (Liga M) tidaklah mewah seperti bintang bola sepak dunia dengan masalah gaji sering berlaku kepada kelab-kelab Liga Super.

Tahun lepas juga menyaksikan beberapa kelab tanah air seperti Kelantan FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sabah FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC menjadi pasukan yang terpalit dengan masalah tunggakan gaji berkenaan.

Tidak dinadikan ada pasukan berhasil menyelesaikan perkara berkenaan namun terdapat juga kelab dikhabarkan masih berhutang dengan pemain sehingga perkara berkenaan menjejaskan kehidupan para pemain mereka.

Terpaksa meluahkan perasaan di media sosial berhubung tunggakan gaji, tonggak skuad Warga Kota, Nazirul Naim Che Hashim turut tidak tidak dapat menyembunyikan kekecewaan.

Cuma bukan luahan terus dari pemain berusia 30 tahun itu, sebaliknya luahan isteri Nazirul yang menggunakan nama akaun Instagram, Norwahila sudah cukup menggambarkan keadaan bek kiri KL City tersebut.

BACA LAGI: Nafi tunggak gaji 4 bulan, Khalid dan Stanley buat pinjaman peribadi demi KL City

WhatsApp Image 2024-02-02 at 21.33.43

Tangkap layar keadaan Nazirul yang dikongsikan oleh isterinya pada Insta Story.

BACA LAGI: Pemain KL City hilang sabar isu gaji, kelab suka berjanji tapi tak tepati

Isteri bekas pemain Perak itu memuat naik video Nazirul sedang memakai baju pesakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan keadaan lututnya sedang berbalut dengan plaster.

“Tersidai juga. Tiada gaji, tiada pengurusan datang tengok. Lepas tangan macam itu saja,” tulis isteri Nazirul di Insta Story pada Jumaat.

Meskipun tiada penerangan rasmi mengenai kecederaan yang dialami Nazirul namun hantaran berkenaan pasti dituju kepada pengurusan KL City.

Nazirul merupakan sebahagian pemain Warga Kota yang terpalit dengan isu tunggakan gaji pada tahun lepas dengan dikhabarkan kelab Lembah Klang tersebut tidak membayar gaji pemain selama empat bulan.

Meskipun dikait dengan masalah berkenaan, KL City antara kelab yang diberikan Lesen Kebangsaan untuk bersaing di Liga M musim depan selepas melepasi syarat ditetapkan oleh badan bebas First Instance Body (FIB), antaranya tiada isu tunggakan gaji dan lain-lain.

Belum ada sebarang kenyataan KL City berhubung kenyataan Nazirul dan isterinya setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram