Nafi tunggak gaji 4 bulan, Khalid dan Stanley buat pinjaman peribadi demi KL City


  • Podium
  • Khamis, 02 Nov 2023

Khalid (tengah) ketika menjelaskan keadaan terkini yang dihadapi skuad Warga Kota.

SELEPAS Kedah Darul Aman (KDA) FC, giliran Kuala Lumpur (KL) City FC pula tampil mendedahkan kebenaran mengenai masalah dalaman mereka khususnya berhubung isu tunggakan gaji selama empat bulan yang didakwa menimpa kelab Lembah Klang itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad bagaimanapun menepis dakwaan tunggakan gaji selama empat bulan itu dan menyatakan selama dua bulan sahaja para pemain skuad Warga Kota menerima layanan sebegitu rupa.

Khalid berkata, gaji untuk bulan Ogos dan September sahaja yang belum dilunaskan kepada para pemain skuad Warga Kota sambil memberi jaminan akan mencari solusi untuk mencari sumber untuk bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Kami tak pernah lebih dua bulan tak bayar gaji. Hanya Ogos dan September. Hanya dua bulan sahaja tertunggak tapi duit masuk tak banyak kerana sumber utama adalah penaja. Penaja utama selain DBKL adalah UBB Amanah.

“UBB Amanah konsisten menjadi penaja KL City sejak 2022 selepas masuk Piala AFC. Syarikat kecil based on KL bagi RM50,000 untuk KL City. Setiap bulan RM1.2 juta minimum untuk bayar gaji semua pemain.

“Kami terpaksa ambil pinjaman peribadi untuk tanggung kelab. Jika nak ambil semua pasukan (KL City, KL City Extension, dua skuad remaja, KL Rovers) sebanyak RM1.5 juta untuk semua pasukan,” katanya ketika sidang media di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur.

WhatsApp Image 2023-11-02 at 13.49.52

Khalid ketika sidang media pada Khamis.

Pinjaman peribadi itu dilakukan oleh Khalid bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard, yang mana jelas menunjukkan tanggungjawab mereka sebagai dua individu penting dalam pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah dalam tersebut.

“Saya punya pinjaman peribadi hampir RM300,000 untuk kelab ini dan Stanley pun mungkin dalam jumlah tersebut. Jaminan pinjaman yang kami beri untuk personal guarantee sebanyak RM2 juta. Itu untuk dapatkan tempoh pinjaman, untuk tempoh bayaran pinjaman itu lama,” jelasnya.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menceritakan bahawa masalah kurang mendapat dana dan pihak penaja utama iaitu Rinani Group Berhad (Rinani) disahkan sudah menarik diri daripada menjadi pelabur utama naib juara Piala AFC 2022 itu.

Pada awal musim ini, Rinani diumumkan menjadi bakal pemilik baharu KL City FC dengan melabur sebanyak RM5.1 juta bagi mendapatkan 51 peratus saham pasukan itu namun kini syarikat korporat itu mengurangkan pelaburan mereka sehingga 10 peratus sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram