BARU-BARU ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC mencipta kejutan apabila menjadi pilihan kelab popular Brazil, Santos Futebol Clube (Santos FC) untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Darul Aman pada 17 Februari depan.
Difahamkan, skuad Hijau Kuning berkenaan merupakan sebahagian daripada empat kelab yang bakal ditentang oleh pasukan saingan Divisyen Dua Campeonato Brasileiro itu dalam siri ke negara Asia mereka.
Sebelum terbang ke negeri Jelapang Padi tersebut, kelab yang pernah melahirkan bintang dunia seperti Neymar dan mendiang Pele itu akan beraksi dalam sebuah kejohanan persahabatan di Qatar yang diberi nama Equality Cup.
Kunjungan kelab popular luar negara seperti Santos ke Kedah bukan kali pertama berlaku dalam arena bola sepak tanah air apabila beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M) seperti Sabah pernah menerima kunjungan Manchester United pada 1980.
Benar, pasukan gergasi Liga Inggeris itu memilih Sabah sebagai pasukan pertama tanah air mereka lawati dan selepas itu Man United pernah menentang Pilihan Selangor pada 1995, menentang pasukan negara sebanyak tiga kali iaitu pada 2001 dan dua lagi pada 2009.
BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum Santos, skuad Pilihan Brazil uji Kedah terlebih dahulu di Darul Aman
Perlawanan persahabatan Sabah menentang Manchester United pada 1980. — Agensi
BACA LAGI: Kim Swee nafi Brendan Gan ke Sabah, sahkan The Rhinos tak tambah pemain baharu
The Rhinos yang dikenali sebagai Sabah Selection pada waktu itu dibarisi oleh Hassan Sani, James Wong, Malim Surat, Vincent Wong, mendiang Datuk Peter Rajah, Datuk Soh Chin Ann dan R. Arumugam yang turut menyertai perlawanan tersebut.
Manakala, skuad The Red Devils yang dikendali Dave Sexton pula menurunkan Martin Buchan, Garry Birtles, Lou Macari, Mike Duxbury, Ashley Grimes, Kevin Moran, Gordon McQueen, Steve Coppell dan Joe Jordan.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas itu berakhir dengan jaringan 2-0 memihak kepada Man United namun pemain Sabah rata-ratanya memperoleh kenangan manis apabila menjadi pemain pertama merasai pengalaman menentang bintang The Red Devils.
Perkara menarik mengenai perlawanan persahabatan berkenaan apabila tuan rumah menghidangkan minuman tradisi Sabah iaitu Tapai kepada para pemain Man United.
Kenangan bintang bola sepak dunia itu menikmati minuman yang sinonim dengan Pesta Menuai berkenaan pasti memberi memori manis dalam karier mereka. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram