Piala Asia: Son pastikan tiada ulangan kekecewaan buat Korea Selatan


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 03 Feb 2024

Heung-min membantu Korea Selatan mendapatkan tiket ke separuh akhir Piala Asia Qatar menentang Jordan. . — Instagram/TheKFA

BOLA Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.

SEMBILAN tahun lalu, Son Heung-min berada di pihak yang kalah 1-2 kepada Australia dalam final Piala Asia 2015 yang dianjurkan negara kanggaru itu. Berubah gelanggang ke Al Wakrah, Qatar, Heung-min menterbalikkan kedudukan dengan sepakan percuma gemilang di Stadium Al Janoub awal hari ini untuk Korea Selatan meraih hak ke separuh akhir.

Australia mengecewakan Korea dengan keputusan serupa dalam masa tambahan final 2015 itu untuk menjulang Piala Asia buat julung-julung kalinya. Namun, kali ini barisan Pahlawan Taeguk itu yang unggul dengan sekali lagi menyumbat gol dalam masa kecederaan untuk memaksa permainan dilanjutkan ke masa tambahan.

“Ia benar-benar menyakitkan pada 2015 tapi saya tidak anggap ini sebagai menebus dendam lama. Semua ini sebahagian daripada bola sepak dan keputusan sembilan tahun lalu itu membantu mematangkan saya sebagai seorang pemain,” kata Heung-min yang mengheret final 2015 itu dengan gol penyamaan pada minit terakhir.

Korea akan berdepan dengan Jordan dalam separuh akhir pertama Selasa ini selepas lawan itu menyingkirkan Tajikistan 1-0 malam tadi. Dalam perlawanan peringkat kumpulan, 20 Januari lalu, Korea dikerah bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Jordan 2-2.

BACA LAGI: Piala Asia: Ulangan final 2015 Australia-Korea Selatan cetus debaran

WhatsApp Image 2024-02-03 at 13.38.14

Sepakan percuma Heung-min membantu Korea menang 2-1 ke atas Australia. . — Instagram/TheKFA

“Jelas sekali ia satu lagi drama dan kami sangat gembira untuk terus mara. Ini satu perlawanan sukar dengan Australia dan kami memang jangkakannya.

“Tapi untuk diheret selama 120 minit lagi, saya bangga dengan pasukan ini dan semangat yang dimiliki pemain-pemain,” kata Ketua Jurulatih Korea, Juergen Klinsmann.

"Kami kini di separuh akhir dan akan menentang Jordan. Ia mengisahkan betapa sukarnya kumpulan kami (Kumpulan E) dengan dua pasukan dari sana layak ke separuh akhir,” tambahnya.

Australia mendapat gol pendahuluan sejurus sebelum rehat separuh masa apabila mereka dengan pintar mengalihkan permainan di bahagian sayap dengan hantaran kemas dalam petak penalti sebelum hantaran lintang Nathaniel Atkinson menemui Craig Goodwin yang menyudahkannya dengan sepakan rendah ke penjuru pintu gol lawan.

Martin Boyle harus menggandakan kedudukan kepada 2-0 apabila menerima satu hantaran ke kawasan penalti tetapi penjaga gol, Jo Hyeon-Woo, membuat dua tindakan menyelamat bagi menafikannya manakala percubaan susulan Mitchell Duke pula melepasi palang gol untuk Korea menghela nafas lega.

BACA LAGI: Piala Asia: Jepun laungkan amaran Samurai Biru akan tampil lebih perkasa

WhatsApp Image 2024-02-03 at 13.38.15

Goodwin menjadi penjaring tunggal Australia dalam aksi suku akhir berkenaan. . — Instagram/Australia

Klinsmann membuat perubahan taktikal dalam separuh masa kedua dengan menaikkan Heung-min lebih ke atas. Strategi itu mengena apabila penyerang Tottenham Hotspur itu dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Lewis Miller, empat minit dalam masa kecederaan.

Hwang Hee-chan bersiap-sedia di titik penalti dan penyerang Wolverhampton Wanderers itu mengambil sedikit masa mententeramkan dirinya sebelum melepaskan sepakan ke penjuru kiri atas – gol keempat Korea selepas detik 90 minit – untuk memaksa permainan dilanjutkan.

“Saya lazimnya pemain pertama mengambil sepakan penalti tapi saya sudah kepenatan. Hee-chan lebih yakin untuk mengambil sepakan penalti itu, jadi saya kata OK. Dia seorang pemain yang sangat penting dan dia berpeluang baik untuk membuktikan itu,” kata Heung-min.

Dengan Korea terpaksa bermain dalam masa tambahan buat perlawanan kedua berturut-turut selepas mereka menyingkirkan Arab Saudi dalam penentuan sepakan penalti, Hee-chan memenangi satu sepakan percuma di penjuru kiri petak penalti gara-gara satu lagi faul oleh Miller.

Heung-min mengambil posisinya berdekatan bola dan menyaksikan sepakan percumanya melepasi benteng dan menewaskan Mathew Ryan di pintu gol. Kamera televisyen saat itu memaparkan Klinsmann mengangkat kedua-dua tangannya sambil melepaskan sorakan.

WhatsApp Image 2024-02-03 at 13.38.16

Hee-chan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke 96. . — Instagram/TheKFA

Ikhtiar Australia untuk bangkit melawan dipersulitkan selepas Aiden O'Neill dilayangkan kad merah susulan semakan video bantuan pengadil (VAR) gara-gara kekasarannya ke atas Hee-chan. Pasukan kendalian Graham Arnold itu kekurangan seorang pemain dalam separuh kedua masa tambahan yang menghalang mereka mencari gol penyamaan.

“Ia agak meluluhkan hati dan beremosi buat pemain-pemain dan staf terhadap bagaimana kami menyudahkan perlawanan ini. Kami bermain dengan baik untuk 90 minit hingga kami dibolosi oleh sepakan penalti lawan,” kata Arnold.

"Korea memiliki pemain-pemain yang beraksi dalam liga-liga utama. Mereka bermain dengan tempo pantas dan masih mampu meningkatkannya lagi. Mereka bermain untuk pasukan-pasukan seperti Tottenham dan Wolves. Mereka boleh memenatkan lawan dengan larian pantas dan menghukum kami pada penghujungnya.” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram