Cemas kawan kena serangan jantung ketika bersukan? Pakar kongsi simptom dan ketahui bantuan awal


  • Sihat
  • Isnin, 05 Feb 2024

Seseorang yang mengalami simptom sakit jantung perlulah membuat pemeriksaan doktor dengan segera. — Gambar Hiasan

SUKAN seperti memanah, bermain golf, olahraga dan bermain bola sepak sememangnya menjadi aktiviti riadah pilihan ramai terutama pada hujung minggu.

Aktiviti sukan berkait rapat untuk meningkatkan kecergasan, namun tanpa ilmu ia boleh mengundang risiko sehingga mengakibatkan kecederaan serius dan ada kalanya menyebabkan kehilangan nyawa.

Buktinya, pada Selasa lalu, kejadian tidak dijangka berlaku kepada seorang lelaki yang meninggal dunia ketika bermain golf dipercayai akibat mengalami serangan jantung di sebuah kelab golf dekat Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

Tapi jika kita berdepan dengan situasi ini terutamanya apabila rakan kita mengalami serangan jantung, apa yang perlu kita lakukan?

Menurut pegawai perubatan Universiti Malaysia Perlis, Dr Shareez Sani Abdullah Sani, 32, punca utama kematian di Malaysia adalah serangan jantung.

"Disebabkan angka kematian ini sangat tinggi sehari, adalah sangat penting untuk kita lengkapkan diri dengan ilmu tanda-tanda awal serangan jantung.

"Serangan jantung adalah situasi apabila saluran darah yang membekalkan darah dan oksigen kepada jantung kita tersumbat disebabkan oleh cholesterol plaque.

"Akibat tersumbat ini, sel-sel jantung kita tidak dapat oksigen dan tidak boleh mengepam darah dan mula mati," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Rasa 'sayang' boleh buat anda keracunan ubat

serangan-jantung

Terdapat banyak petanda seseorang terkena sakit jantung yang perlu diberi perhatian. — Gambar Hiasan

Dr Shareez berkata, terdapat beberapa simptom seseorang mengalami sakit jantung seperti:

1. Terasa 'sesak' atau 'ketat' di bahagian dada.

2. Rasa sakit di dada dan menular ke bahagian lain seperti leher, belakang badan, perut atau rahang.

3. Sesak nafas.

4. Loya sehingga mahu termuntah.

5. Pening.

6. Jantung berdebar-debar.

7. Kuat berpeluh.

Namun, Dr Shareez berkata, terdapat tiga golongan yang memiliki simptom berbeza.

"Tiga golongan tu adalah wanita, orang berumur dan penghidap kencing manis.

"Oleh itu kita perlu berhati-hati jika melibatkan golongan ini dan perlu pemeriksaan lanjut oleh doktor," katanya.

BACA LAGI: Aksi sedut bisa rupanya sekadar mitos, ketahui cara rawatan awal jika dipatuk ular

WhatsApp Image 2024-02-03 at 9.25.25 PM

Seseorng yang mengalami simptom sakit jantung perlulah membuat pemeriksaan elektrokardiogram (ECG). — Gambar Hiasan

Menurutnya lagi, tindakan yang seharusnya dilakukan jika berhadapan dengan seseorang yang mengalami sakit jantung adalah dengan membawa pesakit ke hospital dalam kadar segera atau menelefon 999.

"Sebab untuk serangan jantung kita tak bergantung dengan pesakit punya cerita sahaja, kita perlu buat pemeriksaan elektrokardiogram (ECG) untuk cek jantung dan darah, barulah kami boleh diagnosis sama ada memang serangan jantung atau tidak.

"Ujian darah juga penting dilakukan untuk mengetahui tahap gula dan kolestrol masing-masing. Jika tahap kolesterol low-density lipoprotein (LDL) atau lebih dikenali sebagai ' kolestrol jahat' tinggi bermaksud risiko terkena penyakit jantung juga tinggi," katanya.

Ada kaedah rawatan awal yang boleh diberikan kepada mangsa serangan sakit jantung iaitu:

Aspirin

Sebagai rakan, anda boleh memberikan beberapa aspirin kepada mangsa tetapi kena pastikan dia tidak alergi terhadap aspirin.

Ubatan yang ditetapkan

Jika anda adalah mangsa penyakit jantung dan sedang mendapat ubat-ubatan yang ditetapkan, ambil ubat-ubat tersebut dengan segera. Ingat untuk tidak mengambil sebarang ubat lain dari orang lain sama ada mereka berkongsi masalah penyakit jantung yang sama dengan anda atau tidak.

Jika anda sebagai rakan mangsa, pastikan anda mengetahui tentang sejarah perubatan rakan anda dan tempat ubat disimpan jika berlaku kecemasan.

Melakukan CPR

Jika pesakit tidak sedarkan diri dan anda sudah terlatih mengenai CPR, gunakan pendekatan dengan betul. Jika anda tidak mempunyai pengalaman, panggil pusat perubatan dan mereka akan memberi arahan kepada anda tentang cara melakukan CPR. Biasanya, mereka akan memberitahu anda untuk terus melakukan tekanan dada, melangkau kaedah pernafasan penyelamatan mulut ke mulut.

Defibrilator luaran automatik (AED)

Defibrilator luaran automatik (AED) memainkan peranan penting dalam bertindak balas terhadap serangan jantung.

AED adalah peranti perubatan mudah alih yang canggih tetapi mesra pengguna yang direka untuk membantu individu yang mengalami serangan jantung secara tiba-tiba.

Alat ini boleh menganalisis irama jantung dan jika perlu, memberikan kejutan elektrik (defibrilasi) untuk membantu memulihkan rentak yang normal dan berkesan.

Kakitangan bukan perubatan, seperti polis, bomba, pramugari dan pengawal keselamatan dilatih dengan AED.

Walaupun latihan AED formal tidak wajib, amat disyorkan kerana latihan dapat membantu meningkatkan keyakinan anda dalam mengendalikan peranti.

"AED ini bukan untuk kegunaan kakitangan perubatan tetapi untuk kegunaan orang awam kerana mudah dikendalikan.

"Kalau di Pulau Pinang kebanyakan masjid dah ada AED, jadi kalau boleh pusat-pusat sukan juga sediakan peranti ini," kata Dr Shareez. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram