AKSI perlawanan antara Sabah FC dan Kelantan United FC (KUFC) pada Jumaat menyaksikan skuad Sang Badak berjaya mencipta kemenangan dengan keputusan 2-1.
Meskipun memperoleh kemenangan dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu, ada penyokong yang merasakan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu tidak mempamerkan aksi terbaik mereka.
Gol masa tambahan pemain sayap import Indonesia Saddil Ramdani pada minit ke-111, membawa Sabah FC sebagai pasukan pertama layak ke suku akhir saingan Piala FA musim ini.
Dalam perlawanan itu, Kelantan United, sebuah pasukan daripada Liga Premier, berjaya mengimbangi permainan pasukan Liga Super, Sabah, namun dalam permainan yang seimbang itu kedua-dua pasukan gagal menyudahkan deretan peluang terhidang.
Sabah terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-41 apabila penyerang import Jepun Taiki Kagayama, yang bijak menafaatkan bola ‘melantun’ apabila penjaga gol lawan Mohammad Fikri Ce Soh gagal menangkap kemas percubaan pemain tengah Sabah, Stuart Wilkin.
Bersambung separuh masa kedua, Kelantan United menggandakan asakan dan berhasil apabila Njoku Jacob menyamakan kedudukan pada minit ke-67, melalui rembatan deras di luar kotak penalti apabila tiga pemain pertahanan Sabah gagal menutup ruang penyerang import Nigeria itu.
Perlawanan diheret ke masa tambahan apabila kedudukan terikat seri 1-1 setelah tamat masa sebenar permainan.
Saddil muncul wira pasukan The Rhinos, apabila berjaya mengelecek dua pemain pertahanan Kelantan United sebelum melepaskan rembatan deras, menghadiahkan gol kemenangan pada masa tambahan minit ke-111.
Seorang penyokong, Mohd Hammieddy Esa merasakan banyak pemain yang tidak bermain secara agresif berbanding ketika pertemuan dengan Kedah sebelum ini.
"Terlalu lama cuti Sabah ni...banyak pemain yang bukan dalam kesebelasan utama juga.
"Terlalu kurang agresif berbanding lawan Kedah hari tu. Tapi tak boleh juga harapkan pemain utama... yang duduk di bangku simpanan pun perlu mantap," katanya di ruangan komen laman Facebook Malaysian Football League (MFL) usai perlawanan itu.
Tangkap layar komen penyokong terhadap aksi Sabah FC menentang KUFC. — Facebook
Tambahnya, dia merasakan seperti ada pemain yang perlu diganti berdasarkan persembahan hambar yang ditunjukkan Sabah ketika ini.
"Macam ada yang perlu diganti sudah...kena cari pemain macam si Taiki (Taiki Kagayama).
"Penyerang macam banyak boleh cuba ambil macam (beberapa tonggak Melaka United FC) seperti Sony Norde, Ifedayo Olusegun selain Jacob Njoku (KUFC).
"Kena banyak pemain yang berani buat percubaan dari jauh sebab itu macam trend sekarang ni.
"Ada pemain yang awal musim mantap tapi sekarang ni makin merudum, mungkin cedera atau memang merudum. Tapi tidak mengapa, yang penting, menang.
"Keseluruhan gameplay Sabah kurang mantap dari sebelum ni. Sabah boleh buat lagi padu," katanya.
Sabah FC yang menerima kunjungan KUFC itu merupakan perlawanan siri kalah mati yang menyaksikan The Rhinos dapat melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA musim ini.
KUFC yang dilatih bekas pemain pertahanan Perak FC, Syamsul Mohd Saad bagaimanapun pulang hampa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram