
BOLA sepak antara sukan yang sering memberi pelbagai kejutan kepada peminatnya dengan kadang kala ia diselit dengan insiden kontroversi dan ada juga momen-momen kekal dalam ingatan.
Perlawanan membabitkan kelab Kosovo, KF 2 Korriku dan pasukan Turki, Bursaspor juga antara detik mengharukan yang pernah tular dek sikap semangat kesukanan para pemain cilik dalam bola sepak.
Mengimbau perlawanan pada sembilan tahun lalu itu, kejohanan yang melibatkan kanak-kanak dałam lingkungan 11 tahun iberkenaan mendapat perhatian penyokong global kerana sikap toleransi dalam kalangan pemain dan kejurulatihan kedua-dua pasukan.
Semasa perlawanan yang diadakan dalam saingan Piala Balkan Izmir 2015, pasukan KF 2 Korriku meledak gol penyamaan selepas salah seorang pemain kanak-kanak mereka berhasil memecah kebuntuan jaringan gol.
Tidak membiarkan perlawanan kekal dengan keputusan seri 1-1, pasukan Turki berkenaan tidak melepaskan peluang dengan mendapatkan kembali bola dan menjaringkan gol sehingga menjadikan kedudukan 2-1.
BACA LAGI: Nazirul Naim cedera, isteri kesal kelab Liga Super tak jenguk di hospital dan lepas tangan isu gaji
BACA LAGI: [VIDEO] Dipukul ubi Liverpool, penyerang MU berdarah Malaysia tenang malukan The Reds
Cuma bukan seperti perlawanan lain, jurulatih pasukan Turki menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi apabila meminta pemainnya memberikan bola kepada pasukan Kosovo untuk membuka peluang mereka mencetak jaringan penyamaan.
Namun peluang emas yang terhidang gagal dimanfaatkan apabila penyerang cilik KF 2 Korriku itu terlepas untuk mencetak gol dan bola berkenaan sekadar terkena tiang gol.
Seolah-olah diselebungi rasa bersalah kerana gagal menterjemahkan peluang yang ada, pemain muda itu kemudian berlari keluar padang sambil membuka jersinya dan menangis teresak-esak menyalahkan diri sendiri.
Selepas ditenangkan oleh barisan kejurulatihan, pemain muda itu kembali bermain dan jurulatih Bursaspor sekali lagi memberi peluang kepada pasukan lawan menjaringkan gol.
Pasukan Kosovo kemudiannya berjaya menjadikan kedudukan 2-2 sebelum kemenangan akhirnya berpihak kepada KF 2 Korriku apabila pasukan itu menjaringkan gol pada minit-minit terakhir perlawanan.
Tindakan jurulatih pasukan Turki itu merupakan contoh terbaik bagi membuktikan bahawa kemenangan bukanlah segala-galanya dan mengajar atlet muda tentang semangat kesukanan tinggi adalah erti kejayaan sebenar. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram