Haaland sanggup terlepas aksi EPL demi kekal 'fit' jumpa bekas lawan JDT


  • Podium
  • Sabtu, 16 Dis 2023

Haaland ketika sesi latihan sebagai persiapan menentang Urawa Red yang dijadual berlangsung pada Rabu. —  Instagram/Haaland

KEMENANGAN tipis Urawa Red Diamonds ke atas wakil Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Carribean (CONCACAF) dari Mexico, Club Leon, memastikan kelab Jepun itu berdepan Manchester City dalam aksi Piala Kelab Dunia 2023 pada Rabu.

Jaringan tunggal pemain gantian dari Belanda, Alex Schalk pada minit ke-78 sudah cukup untuk memastikan Juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2022 itu menguji kekuatan Man City pada aksi separuh akhir nanti.

Menjelang perlawanan separuh akhir menentang Urawa Reds, skuad kendalian Pep Guardiola nampaknya sudah mempunyai perancangan tersendiri apabila dilaporkan akan menyimpan penyerang sensasi, Erling Haaland daripada beraksi di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Keputusan merehatkan Haaland buat sementara waktu daripada perlawanan EPL adalah bagi memastikan pemain antarabangsa Norway itu cukup cergas bagi kejohanan separuh akhir Piala Kelab Dunia 2023.

WhatsApp Image 2023-12-16 at 14.58.55

Schalk (depan) menjaring gol tunggal perlawanan dalam aksi Urawa Reds menentang Club Leon. — Instagram/UrawaRed

“Erling Haaland dijangka terlepas perlawanan liga utama Inggeris untuk berada dalam keadaan fizikal yang betul untuk menentang Urawa Red Diamonds,” petik laporan dari Onefootball.com.

Penyerang berusia 23 tahun itu sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kakinya yang memaksa dirinya terlepas daripada beraksi dalam dua perlawanan bersama Manchester City.

Laporan dari media tersebut membuktikan bahawa Guardiola tidak mengambil mudah perlawanan bertemu pasukan Asia itu walaupun skuad The Citizens sendiri sudah pernah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah dan mempunyai pemain bertaraf bintang.

Untuk rekod, Urawa Reds bukanlah nama asing dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air apabila pasukan berkenaan pernah menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) dengan kemenangan 5-0 dalam perlawanan pusingan 16 ACL musim 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram