ARENA bola sepak tanah air baru-baru dihidangkan dengan berita menggembirakan apabila dikhabarkan jentera serangan negara mempunyai pelapis yang sedang beraksi dengan pasukan gergasi England, Manchester United.
Pemain tersebut ialah Ethan Wheatley, yang didakwa mempunyai keturunan dengan Malaysia dan kini sedang membina nama sebagai penyerang muda bersama skuad akademi The Red Devils.
Wheatley yang baru berjaya menandatangani kontrak profesional dengan Man United di usia 18 tahun itu baru-baru ini mencuri tumpuan lagi apabila membantu skuad muda The Red Devils menang ke atas Liverpool Bawah 18 Tahun (B-18).
Pemain kelahiran Stockport, England itu diturunkan sebagai kesebelasan utama menentang The Reds dan ketajamannya di hadapan gawang jelas terbukti apabila mencetak dua gol dalam kemenangan 4-3 ke atas Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris B-18 pada Selasa.
Ethan Wheatley vs Liverpool U18s. pic.twitter.com/AH3gIxilHf
— Ravagē (@IeRavage) January 30, 2024
Dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Latihan AON itu, Wheatley juga menjadi mangsa keganasan pemain Liverpool selepas dia dilihat ditumbuk oleh tonggak pertahanan The Reds, Luca Furnell-Gill.
Rakaman menunjukkan Furnell-Gill melemparkan tumbukan ke arah muka lawan Wheatley dan penyerang United itu bertindak balas dengan menolak pemain pertahanan itu.
Memetik laporan Independent, kakitangan kejurulatihan United, yang diketuai oleh pengurus Adam Lawrence dilaporkan melepaskan kemarahan ke atas pengadil namun tiada sebarang kad dilayangkan kepada Furnell-Gill.
Meskipun berlaku insiden kurang mcenyenangkan kepada Wheatley, prospekt Man United itu tidak menjadikan ia alasan untuk mencetak dua jaringan dan dua hantaran bantuan dalam aksi menentang Liverpool B-18.
Untuk rekod, dua gol yang dijaringkan Wheatley itu merupakan jaringan keempatnya bersama Manchester United B-18 selepas dia diturunkan dalam lima perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram