[VIDEO] Sebelum Santos, skuad Pilihan Brazil uji Kedah terlebih dahulu di Darul Aman


  • Podium
  • Jumaat, 02 Feb 2024

Para pemain pasukan Pilihan Brazil (kanan) meraikan jaringan mereka bertemu Kedah. — CHIN CHENG YEANG/The Star

DALAM bola sepak Malaysia, kita pernah saksikan kelab-kelab di negara ini mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan handalan dunia.

Selangor FC misalnya, pernah berdepan Sevilla di Stadium Shah Alam pada 2014. Selain itu, Johor Darul Ta'zim (JDT) pernah bertemu gergasi Jerman, Borussia Dortmund sebanyak dua kali pada 2015 dan 2022.

Tetapi jauh sebelum tahun-tahun tersebut, kelab Utara iaitu Kedah Darul Aman FC pernah berdepan jagoan-jagoan bola sepak dari Brazil.

Sang Kenari pernah berdepan skuad Pilihan Brazil dalam satu perlawanan persahabatan yang diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 2008.

Perlawanan tersebut merupakan sebahagian daripada jelajah para pemain Brazil yang diberi nama Tour of Hope. Jelajah itu menyaksikan mereka mengadakan beberapa perlawanan amal persahabatan di Asia Tenggara seperti bertemu Kedah dan Thailand.

Dalam perlawanan tersebut, Kedah yang dikuatkan oleh pemain-pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Fadly Baharum dan Khyrill Muhymeen berjaya memberikan tentangan kepada skuad Pilihan Brazil.

BACA LAGI: 'What is this?' Fans Santos buat berlagak kelab umum aksi pramusim lawan Kedah

BACA LAGI: Ketibaan Umar Eshmurodov jadi rekrut pertama Selangor FC

Lebih menarik, pemain seperti Muhymeen dan penjaga gol Helmi Eliza yang sedang bersama skuad kebangsaan pada waktu itu dilepaskan seketika supaya dapat menghadiri perlawanan tersebut.

Walaupun memberikan saingan sengit, namun Kedah terpaksa tunduk kepada kekuatan Pilihan Brazil yang ditunjangi oleh pemenang Piala Dunia 1994, Paulo Sergio dan bekas bintang Barcelona, Giovanni apabila Sang Kenari tumpas 1-4 dalam perlawanan tersebut.

Ia menyerupai keputusan yang dilakar Pilihan Brazil di Thailand apabila mereka berjaya menewaskan skuad Gajah Perang dengan jaringan sama.

Melangkah ke hari ini, tanpa disangka, Kedah akan menjadi tuan rumah kepada satu lagi pasukan daripada Brazil iaitu Santos.

Santos yang merupakan nama besar dalam bola sepak Brazil akan tiba di Malaysia pada 17 Februari sebagai sebahagian daripada jelajah mereka ke Asia.

Mereka akan bermain beraksi dalam sebuah kejohanan persahabatan di Qatar yang diberi nama Equality Cup sebelum terbang ke Malaysia untuk bertemu Kedah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram