SETELAH empat tahun menabur bakti, Khamal Idris Ali disahkan meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman FC (KDA) FC pada Khamis.
Menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi media sosial rasmi KDA FC, memaklumkan Khamal melepaskan jawatan itu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaannya selepas empat tahun menabur bakti bersama skuad Sang Kenari.
"Peletakan jawatan ini juga diambil atas rasa tanggungjawab untuk membuka peluang kepada yang lebih berkelayakan dan berkemampuan.
"Ia satu kehilangan besar buat arena bola sepak negeri Kedah di mana kita dapat melihat banyak perkembangan serta pembaharuan yang dilaksanakan sejak dilantik pada pertengahan tahun 2020," jelas kelab itu.
Pengumuman itu sememangnya mengejutkan penyokong Sang Kenari terutamanya apabila Khamis Idris merupakan individu yang banyak menambah baik Kedah sejak skuad Hijau Kuning berubah ke era penswastaan.
Keputusan untuk mengundur diri daripada menjawat posisi tertinggi kelab itu juga mendapat respons kurang enak daripada penyokong apabila ada yang mendakwa Khamal Idris ingin lari daripada tanggungjawab menyelesaikan isu gaji.
Kelab berpangkalan di Utara tanah air itu berpotensi untuk tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Super 2024/2025 seandainya mereka tidak menyelesaikan isu tunggakan gaji para pemain selama empat bulan sebelum ini.
Dakwaan tersebut bagaimanapun disifatkan hanya tuduhan tidak berasas apabila puteri kepada Khamal Idris, Nisa Fhirqa tampil membela nasib ayahnya di laman TikTok peribadi pada Khamis.
BACA LAGI: CEO Sang Kenari sah letak jawatan, fans resah siapa bakal duduk kerusi ‘panas’
Menurutnya, bekas pemain Kedah itu meninggalkan KDA FC atas desakan ibunya yang tidak tahan melihat ayahnya difitnah dan dilabel sebagai CEO yang tidak bertanggungjawab oleh warganet walaupun pelbagai pengorbanan sudah dilakukan sejak 2020.
“Saya sedih bila tengok abah (Khamal Idris) sedih tinggalkan pasukan, tapi atas desakan mama yang tak sanggup lagi tengok abah terus dihina, dikecam, difitnah walau telah memberi seluruh jiwa raga, tenaga dan usaha kepada pasukan, abah akhirnya turuti juga saranan mama untuk letak jawatan.
“Abah dah buat yang terbaik untuk pasukan, sudah tiba masanya abah tinggal apa yang menyakiti... jadi dekat sini, bukan niat nak menunjuk, tapi nak beritahu pada orang yang fitnah abah makan duit. Ini baru satu saja bukti saya tunjuk dan saya harap kalian semua sedarlah yang fitnah itu lebih teruk dari membunuh.
“Itu saja, kalau ikut hati saya, saya nak tunjuk semua pengorbanan yang abah lakukan untuk pasukan Kedah tapi abah cakap dekat saya 'abah lakukan sebab abah sayangkan pasukan. Abah lakukan sebab abah ikhlas, cukup ALLAH tahu apa yang abah lakukan'.
“Jadi saya hormati keputusan abah untuk tidak bercerita lanjut. Terima kasuh Tan Sri (Tan Sri Dr Daud Bakar), MB (Datuk Sri Muhammad Sanusi Md Nor) dan semua yang sangat hargai abah dalam pasukan.. dan untuk semua netizen, terima kasih menabur fitnah yang dahsyat dan saya harap kalian gembira,” luahnya.
Dalam perkembangan sama, Nisa Fhirqa juga menceritakam bahawa di awal pembabitan bersama KDA FC, Khamal Idris banyak menggunakan wang sendiri untuk menampung perbelanjaan skuad Hijau Kuning.
BACA LAGI: 'Dalam masa terdekat', isu tunggakan gaji Kedah akan diketahui, tak mustahil senasib Kelantan
Tangkap layar perkongsian dari anak perempuan Khamal Idris.
Selain itu, Khamal Idris juga difahamkan mengeluarkan 'duit poket' peribadi untuk menampung KDA FC sebanyak RM500,000 bagi membolehkan kelab tersebut untuk terus beraksi dalam saingan Liga 2023.
“Untuk makluman, peletakan jawatan CEO bukan sebab CEO tidak dapat gaji tetapi adalah disebabkan mulut jahat para netizen yang tidak tahu apa tapi tuduh CEO macam-macam. Walhal waktu tahun-tahun awal CEO dilantik, CEO bekerja tanpa gaji dan sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk support pasukan kerana sayangkan pasukan
“Tapi netizen kata CEO makan gaji buta (padahal bekerja tanpa sebrang gaji waktu itu), CEO makan duit kelab, CEO sayang nak tinggalkan kerusi empuk.. padahal kerusi empuk pun beli dengan duit sendiri nahhh !!! Office pon CEO yang wujudkan,” jelasnya.
Ia bukanlah kenyataan memenangkan Khamal Idris namun beliau sememangnya individu yang mewujudkan Pejabat Pengurusan KDA FC di Wisma Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
Malah, Khamal Idris juga menaik taraf segala kelengkapan pusat latihan, pusat kecergasan serta pemulihan pemain dengan skala besar yang pertama kali diwujudkan di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram