Pemain KL City hilang sabar isu gaji, kelab suka berjanji tapi tak tepati


  • Podium
  • Selasa, 31 Okt 2023

Kuala Lumpur City dilaporkan mengalami tunggakan gaji sehingga empat bulan yang menjejaskan kebajikan pemain mereka. — Facebook/Kuala Lumpur City

SUDAH menjadi perkara lazim yang tidak sepatutnya berlaku dalam kancah bola sepak Malaysia apabila kelab-kelab di Liga Super mengalami masalah berkenaan kewangan.

Apabila terpalit dengan situasi ini, kesan paling ketara adalah kepada pemain dan staf apabila gaji akan tertunggak. Ada sesetengah kes, pembayaran bukan sekadar sangkut melibatkan skuad senior tetapi pasukan bawah umur turut terkesan.

Tunggakan gaji jelas menganggu motivasi pemain. Jika terlalu lama tunggakan, prestasi akan mula menurun dan kekalahan akan menyusul. Sikap profesionalisme pemain mula luntur dek kerana majikan.

Itulah yang kelihatan kepada kelab Lembah Klang, Kuala Lumpur City FC (KL City) yang kini terhimpit dengan tunggakan gaji selama empat bulan.

387850538_18236712262237328_1232486927670420820_n

KL City dilaporkan berhutang bayaran gaji dengan pemain mereka. — Facebook/Kuala Lumpur City

Tunggakan tersebut nyata melunturkan semangat pemain di saat mereka masih berpeluang untuk layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia seandainya berjaya menewaskan Terengganu FC pada pertemuan kedua separuh akhir pada 3 November ini.

Menurut ikon kelab, Paulo Josue, dia nyata kecewa dengan tindakan pengurusan yang tidak mampu menunaikan janji yang ditabur kepada para pemain.

"Susah untuk menjawab persoalan mengenai persediaan dan persembahan kami. Kami sedang mengalami masalah kewangan di kelab dan itu menganggu prestasi kami.

"Kami faham yang kelab tidak mahu berada dalam situasi ini tetapi mereka sering menabur janji yang tidak boleh ditepati. Saya tak nak mengadu tetapi kami kecewa kerana pengurusan memberikan tarikh tetapi apabila sudah sampai tarikhnya janji tidak dikotakan. Kami kecewa," kata Josue.

381219953_18234131077237328_5847019309954903293_n

Paulo Josue bersama-sama KL City sejak 2017. — Facebook/Kuala Lumpur City

Josue yang merupakan pemain naturalisasi Harimau Malaya hanya mahukan jawapan jujur daripada pengurusan kelab.

Kepercayaan itu masih ada, tetapi dia berharap jangan ia diambil ringan oleh pengurusan kelab yang gagal mengotakan janji.

"Kami cuma mahu jawapan jujur daripada pengurusan. Kami masih mempunyai harapan dan kepercayaan. Kami percaya kami boleh selesaikannya. Kami tidak mahu mengambil tindakan undang-undang dengan melaporkannya ke PFAM atau FIFA.

"Kami cuma minta untuk jujur sahaja mengenai situasi ini supaya kami boleh urus kewangan kami. Sebagai profesional, tak kira sebagai jurulatih atau pemain perlu tolak tepi isu ini dan fokus pada permainan. Tapi sekarang ini, kami tumpukan tenaga kami kepada isu ini yang menyukarkan kami," jelas Josue.

KL City masih berpeluang untuk layak ke perlawanan akhir kedua mereka musim ini jika berjaya menewaskan Terengganu. Buat masa sekarang, mereka ketinggalan 1-2 menerusi agregat selepas kalah perlawanan pertama di tempat sendiri.

Jika berjaya layak, mereka akan menyertai perlawanan akhir kedua mereka musim ini selepas lolos ke aksi final Piala FA pada pertengahan musim. Ketika itu, skuad Warga Kota kalah kepada Johor Darul Takzim. — The Star /T. Avineshwaran

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram