Piala Asia: Korea meniti tuah untuk mara hingga ke final


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Rabu, 31 Jan 2024

Skuad Korea Selatan meraikan kemenangan selepas menewaskan Arab Saudi sekali gus mara ke peringkat seterusnya. — Facebook/AFC

Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.

CUMA seminit memisahkan Korea Selatan daripada kepulangan awal dari pusingan 16 Piala Asia Qatar 2023 tapi dua pemain – penjaga gol Jo Hyeon-woo dan penyerang tinggi lampai Cho Gue-sung – tampil untuk mengubah nasib skuad Pahlawan Taeguk itu yang kini mungkin mara hingga ke saingan kemuncak.

Korea menyingkirkan Arab Saudi 4-2 dalam penentuan sepakan penalti awal hari ini selepas Cho, yang bermula untuk aksi-aksi peringkat kumpulan tapi kurang menyerlah, diperkenalkan sebagai pemain gantian untuk menanduk masuk gol penyamaan 1-1 dalam masa kecederaan. Masa tambahan gagal menghasilkan tambahan jaringan.

Sesudah itu, ia menjadi giliran Jo – penjaga gol pilihan kedua yang kembali dalam kesebelasan permulaan selepas beberapa tahun bagi menggantikan Kim Seung-gyu yang cedera – memenangkan Korea dalam penentuan penalti dan hak untuk beraksi dalam suku akhir.

Di sebalik aksi pusingan 16 itu jelas menjadi peluang kebangkitan buat Cho dan Jo kerana momen-momen berkenaan, kedua-duanya bagaimanapun tidak banyak menikmati persembahan yang mengagumkan penyokong mereka.

BACA LAGI: Aksi Malaysia-Korea diundi perlawanan terbaik peringkat kumpulan Piala Asia

WhatsApp Image 2024-01-31 at 15.47.53 (1)

Korea Selatan berjaya mara ke peringkat seterusnya selepas menewaskan Arab Saudi menerusi sepakan penalti. Facebook/AFC

Malah, Cho pada satu ketika panik di depan pintu gol yang ternganga dan memilih untuk mengumpan bola kepada rakan daripada menyudahkannya.

Apa pun, perlawanan di Stadium Education City, Al Rayyan itu juga tidak banyak mengikis kebimbangan terhadap Ketua Jurulatih, Jurgen Klinsmann, dan skuadnya yang dilihat gagal mendominasi lawan lebih kerdil dalam kejohanan setakat ini.

Aksi awal hari ini mendedahkan permulaan goyah buat kedua-dua pasukan – Korea berhempas-pulas untuk menyesuaikan diri dengan formasi 3-4-3 yang menampilkan Jeong Woo-yeong, Son Heung-min dan Lee Kang-in di barisan depan.

Di sebalik 33 anak tangga yang memisahkan ranking dunia kedua-dua pasukan – Korea di tangga ke-23 manakala Arab Saudi di tangga ke-56 – pasukan negara Timur Tengah itu yang lebih menguasai permainan dengan menggagalkan serangan Korea selain lebih mencemaskan dalam serangan mereka sendiri.

Selepas menghindarkan daripada dibolosi sejurus sebelum rehat – Arab Saudi dua kali menyaksikan percubaannya menyinggahi palang – Korea ketinggalan sejurus permainan bersambung dalam separuh kedua, dengan skuad Helang Hijau itu memainkan bola terus ke depan dari sepak mula untuk Abdullah Radif menewaskan Jo dengan sepakan rendah.

Gol itu dilihat mencukupi menjadi pemisah untuk sebahagian besar separuh kedua sambil Korea bergelut untuk menembusi pertahanan liat lawan sekalipun selepas memperkenalkan Hwang Hee-chan dan Cho bagi menajamkan serangan.

Jawapan Korea hanya menyusul betul-betul pada minit terakhir – Cho menanduk masuk gol penyamaan selepas sembilan minit dalam masa kecederaan untuk memaksa permainan dilanjutkan ke masa tambahan.

WhatsApp Image 2024-01-31 at 15.47.38

Sebahagian aksi ketika pemain Arab Saudi (kanan) dikawal ketat oleh Korea Selatan. Facebook/AFC

Seperti babak awal permainan, tidak banyak yang berlaku dalam separuh pertama masa tambahan ketika Klinsmann memilih untuk tidak membuat sebarang penggantian.

Korea mengambil alih penguasaan selepas rehat singkat dengan menawarkan beberapa detik mencemaskan tapi tidak menemui penyudah yang diharap-harapkan mereka.

Kang-in adalah yang paling hampir dengan meledakkan percubaan terbaik sepanjang perlawanan tapi gagal melepasi jangkauan penjaga gol, Ahmed Al-Kassar.

Tanpa keberhasilan dalam masa tambahan, penentuan terpaksa dilanjutkan ke sepakan penalti – sesuatu yang dilihat sebagai khabar buruk buat Korea dengan Jo di antara dua tiang gol dan bukannya Kim.

Namun, sambil kedua-dua pasukan menyempurnakan dua sepakan pertama mereka -- Son dan Kim Young-gwon untuk Korea – Jo cemerlang menampan sepakan ketiga Arab Saudi untuk skuad Taeguk Warriors itu berkelebihan. Cho seterusnya tiada masalah menyudahkan sepakannya untuk kedudukan 3-2 selepas tiga sepakan penalti.

Sekali lagi Jo menyelamatkan sepakan keempat Arab Saudi untuk meletakkan Korea cuma satu sepakan daripada gerbang suku akhir.

WhatsApp Image 2024-01-31 at 15.47.35

Kapten Korea Selatan, Son Heung-min (kiri) mengawal bola dengan baik daripada dirampas Arab Saudi. Facebook/AFC

BACA LAGI: 'Kedah, do you miss me?' Mat Don 'bakar line' naik gambar sarung jersi Hijau Kuning

Pada detik ini, Ketua Jurulatih Arab Saudi, Roberto Mancini, dilihat beredar dari tepi padang tanpa mahu menyaksikan Hee-chan meledakkan sepakan penaltinya tinggi ke penjuru kanan atas untuk pemain dan penyokong Korea memulakan sambutan kemenangan.

“Kami berasa sangat bangga dengan pasukan ini yang percaya dengan kemampuan untuk kembali sepanjang perlawanan,” kata Klinsmann dalam temu bual Korea Joongang Daily seusai sepakan penalti penentuan itu.

“Ia adalah satu drama. Pasukan ini makin lama makin baik. Kami sepatutnya menjaringkan gol lebih awal tapi seurang-kurangnya kami menang penentuan penalti. Pasukan ini cukup menakjubkan.”

Tambah Klinsmann: “Kami telah bersiap untuk penentuan penalti. Kami berlatih untuknya dan telah bersiap-sedia daripada segi mental. Ia sangat mengujakan untuk melihat kempat-empat sepakan disempurnakan dengan tenang dan tepat. Kami berhak menang.”

Korea seterusnya akan beraksi dalam suku akhir pada tengah malam Jumaat ini berdepan Australia, lawan yang dijangka lebih menguji kekentalan barisan Pahlawan Taeguk itu.

Selepas gagal menenggelami pasukan di tangga ke-87, Jordan, dan Malaysia di tangga ke-130 di samping hanya menang tipis ke atas Bahrain di tangga ke-86, Korea kini perlu mencari jalan untuk menundukkan Australia – pasukan yang hanya dua anak tangga di bawah pada kedudukan ke-25 dunia.

Jika itu berjaya dilakukan, Korea mungkin berdepan semula dengan Jordan dalam separuh akhir dan seterusnya antara Jepun, Iran atau Qatar dalam final. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram