Aksi Malaysia-Korea diundi perlawanan terbaik peringkat kumpulan Piala Asia


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Ahad, 28 Jan 2024

Romel Morales (kiri) menghancurkan hati jutaan penyokong Korea Selatan. — FAM

PIALA Asia Qatar 2023 merakamkan pengiktirafan kepada Harimau Malaya apabila kebangkitan dramatiknya untuk mengikat Korea Selatan 3-3 dalam perlawanan terakhir Kumpulan E, Khamis lalu diundi sebagai perlawanan terbaik pilihan peminat sepanjang pusingan awal.

Menjelang tempoh undian ditutup pada jam 7.00 malam waktu Qatar (12 tengah malam tempatan), perlawanan Korea-Malaysia di Stadium Al Janoub, Al Wukair itu mendapat 80 peratus undi keseluruhan – jauh mengatasi perlawanan Vietnam-Indonesia yang mendapat 19 peratus undian di tempat kedua.

Satu lagi perlawanan yang mendapat undian peminat ialah pertemuan Iraq-Jepun yang hanya mendapat 1 peratus.

Menurut laman Facebook rasmi AFC Asian Cup, aksi peringkat kumpulan Piala Asia AFC Qatar 2023 melabuhkan tirai Khamis lalu dengan 16 pasukan meneruskan kemaraan ke peringkat kalah mati manakala lapan pasukan lagi tersingkir.

Drama detik-detik akhir yang menakjubkan, perlawanan yang sarat jaringan dan tidak terkecuali beberapa keputusan mengejut, ketiga-tiga hari perlawanan pusingan awal itu menyerlahkan beberapa perlawanan yang meninggalkan ingatan mendalam daripada kejohanan edisi ke-18 ini.

BACA LAGI: Program Mencari Ramli, last-last rupanya terjumpa Mickey

422970124_1084797405926828_5457797327350718641_n

Para pemain Malaysia meraikan jaringan ketiga Malaysia bertemu Korea Selatan. — FAM

Selepas berakhir kesemua 44 perlawanan peringkat kumpulan Khamis lalu, laman Facebook rasmi AFC Asian Cup membuka undian kepada semua peminat untuk mengundi pilihan mereka daripada enam perlawanan yang disenaraikan sebagai antara yang terbaik.

Perlawanan berkenaan ialah Jepun 4-2 Vietnam di Stadium Al Thumama (hari perlawanan 1 – MD1), Arab Saudi 2-1 Oman di Stadium Antarabangsa Khalifa (MD1), Iraq 2-1 Jepun di Stadium Education City (MD2), Vietnam 0-1 Indonesia di Stadium Abdullah bin Khalifa (MD2), Tajikistan 2-1 Lebanon di Stadium Jassim bin Hamad (MD3) dan Korea Selatan 3-3 Malaysia di Stadium Al Janoub (MD3).

Sinopsis laman berkenaan memaparkan:

Kumpulan E: Korea Selatan 3-3 Malaysia

Kekalahan 0-1 kepada Bahrain pada minit-minit akhir menyingkirkan Malaysia yang masih berbaki satu perlawanan. Tapi pasukan Asia Tenggara itu masih mencari sesuatu yang dapat mereka banggakan ketika berdepan Korea sebelum meninggalkan kejohanan pertama mereka di peringkat benua sejak 2007.

Apa yang menyusul ialah satu perlawanan umpama roller-coaster yang akan menjadi bualan penyokongnya selama bertahun-tahun mendatang.

Jeong Woo-yeong membuka jaringan pada pertengahan separuh pertama tetapi penyudahan kemas Faisal Halim mengimbangi kedudukan buat Malaysia sebelum Arif Aiman Hanapi membawa mereka ke awang-awangan dengan menyempurnakan sepakan penaltinya.

BACA LAGI: Dirisik Kedah, tapi Mr Kuala Lumpur tetap setia dengan City Boys

421680613_1084727059267196_4608526196750495867_n

Arif Aiman (kanan) meraikan jaringannya bersama-sama Dominic Tan (tengah). — FAM

Bagaimanapun, kuasa bintang-bintang Korea terserlah semula, dengan Lee Kang-in melencongkan sepakan percumanya yang menerjah jaring pada minit ke-82. Seterusnya, Son Heung-min seakan-akan meluluhkan hati penyokong Malaysia dengan sepakan penalti pada minit ke-92 untuk mereka kembali mendahului 3-2.

Namun, sungguh menakjubkan kerana masa masih terluang untuk satu lagi sentuhan pemusnah apabila Paulo Josue menemui penyerang gantian, Romel Morales, yang baru dua minit dimasukkan untuk menyudahkan gol penyamaan pada minit ke-105 bagi mengikat kedudukan 3-3 dengan gaya paling dramatik sambil Malaysia meraih satu lagi keputusan bermakna menentang skuad Taeguk Warriors sebagai mengulangi pencapaian seumpamanya pada masa lalu.

Tidak sekadar itu, jaringan Faisal ketika mengikat kedudukan 1-1 enam minit selepas permainan bersambung dalam separuh kedua kini tersenarai sebagai antara gol paling cantik selepas 44 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram