Perlawanan uji sistem VAR tidak jejas persiapan kelab-kelab Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 31 Jan 2024

Barisan pengadil Liga Malaysia menjalani latihan penggunaan sistem VAR. — FAM

KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menganggap siri perlawanan ujian sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) yang akan dilaksanakan oleh Malaysian Football League (MFL) bakal memberi pendedahan yang berguna kepada semua kelab sebelum sepak mula Liga Malaysia musim ini.

Saingan Liga Malaysia 2024-2025 dianjakkan seminggu daripada tarikh asal iaitu 3-5 Mei 2024 ke 10-12 Mei 2024 bagi memberi laluan kepada perlawanan ujian terbabit yang akan berlangsung pada 22 April hingga 5 Mei 2024.

Bagi Kim Swee, perubahan tarikh sepak mula itu tidak akan menjejaskan persiapan mereka sebaliknya pasukan juga ingin menguji keberkesanan VAR buat kali pertama sebelum mereka berdepan perlawanan sebenar nanti.

“Ini merupakan pengalaman baharu untuk semua kelab di Malaysia dengan adanya VAR buat kali pertama.

“Dan dengan ujian perlawanan yang akan dijalankan nanti pasti akan memberi bayangan awal kepada kita mengenai keseluruhan VAR dan kita akan tahu dengan lebih jelas bagaimana ia berfungsi.

“Anjakan seminggu sebenarnya tidak akan mengubah apa-apa dan pengumuman awal mengenai jadual liga ini juga dapat membantu pasukan untuk bersiap sedia daripada segi persiapan untuk pra musim ini,” jelasnya.

BACA LAGI: Ramai kecewa Perak lepaskan penyerang Korea tapi kekalkan Luka Milunovic

Sementara itu, Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew Gim Eam pula menyifatkan keputusan MFL untuk mengadakan ujian perlawanan VAR sebelum sepak mula sebagai satu langkah yang relevan selain kelab itu juga dalam perancangan untuk turut sama terlibat dalam siri perlawanan ujian itu.

“Sebenarnya langkah yang cukup baik untuk kita sama-sama meneliti kelancaran VAR ini dalam perlawanan dan apabila ada anjakan seminggu ini sekurang-kurangnya ada masa untuk kita melakukan sebarang penambahbaikan.

“Untuk kami di Penang FC, kami juga dah kena mula bersedia dengan segala persiapan bermula Februari dan apabila kita tahu akan ada siri perlawanan ujian VAR, ini adalah masa yang tepat sebab ianya bukan perkara yang mudah dalam landskap perlawanan bola sepak ini.

“Dan sebab itu, amat penting adanya perlawanan ujian sebelum sepak mula untuk kami semua daripada kelab-kelab dapat membiasakan diri dan sekali gus dapat elak masalah-masalah tidak sepatutnya," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar sememangnya bersetuju dengan perubahan tarikh baharu Liga Malaysia ini kerana secara tidak langsung dapat memberi ruang juga kepada skuad bawah 23 tahun (B-23) negara untuk melakukan persiapan.

Selaku pengurus pasukan B-23 Malaysia, Shahril percaya sekurang-kurangnya masa yang ada ini akan memberi kelebihan kepada kelab sebelum melepaskan pemain-pemain yang dipilih untuk ke Piala Asia Bawah 23 di Qatar, April depan.

BACA LAGI: Kekal warna Hijau Kuning, Sang Kenari wajib buru sentuhan samba perkuat ‘backfour’

“Orang mungkin akan tengok seminggu ini singkat, tetapi sebenarnya dalam tempoh seminggu itulah banyak yang kita boleh buat untuk kelab lebih bersedia.

“Pada masa sama, saya tengok juga daripada segi skuad B-23 di mana pastinya ia akan memberi lebih masa untuk kelab juga bagi mereka melepaskan pemain ke sesi latihan skuad negara selepas ini.

“Jadi, saya tidak sebarang masalah dengan perubahan ini kerana yang paling penting adalah untuk kita melihat fungsi VAR itu sendiir dalam perlawanan," tambahnya.

Terdahulu, susulan pertukaran tarikh pemeriksaan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) yang sebelum ini dijadual pada Februari 2024 ke tarikh baharu pada 16 hingga 21 April 2024 maka, tarikh sepak mula Liga Malaysia 2024-2025 dianjakkan seminggu bagi membolehkan MFL mengadakan siri perlawanan ujian sistem VAR.

Perlawanan ujian ini cukup penting untuk MFL menguji pergerakan mobil VAR ke venue-venue, pengurusan penyiaran, pemahaman pegawai dan pasukan serta tahap kesediaan kemudahan venue terlibat. — MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram