‘Steady 4 bini’, Forestieri atasi peledak Tok Gajah dan bintang Serie A, topscorer Itali musim 2023


  • Podium
  • Selasa, 30 Jan 2024

Forestieri menjaringkan 21 gol untuk JDT pada musim 2023. — JOHOR Southern Tigers

MUSIM 2023 menjadi satu detik yang cukup gemilang buat Johor Darul Ta'zim (JDT). Mana tidaknya, mereka berhasil untuk meneruskan dominasi dalam kancah bola sepak tempatan.

Mereka berhasil mendapatkan gelaran Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia. Lebih manis, Harimau Selatan berjaya merangkul gelaran liga untuk kali kesepuluh berturut-turut.

Itu cerita pencapaian secara berpasukan, bagi peringkat pemain pula turut ada kisahnya. Bagi penyerang JDT, Fernando Forestieri dia turut mengharungi musim cemerlang.

Apa yang menariknya, Forestieri berjaya mengharungi musim 2023 sebagai penjaring terbanyak dalam kalangan penyerang Itali. Menurut rekod yang dikeluarkan Transfermarkt, Forestieri menghasilkan 21 gol dalam saingan Liga Super.

"Menurut laporan Transfermarkt Italy, Fernando Forestieri mengungguli carta penjaring terbanyak bagi pemain Itali pada tahun 2023. Forestieri telah menjaringkan 21 gol dalam 30 penampilan bersama Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim," kata JDT dalam kenyataan mereka.

BACA LAGI: Klinsmann buka mulut kenapa dia tersenyum saat Romel Morales gegar gol Korea Selatan

BACA LAGI: Melaka FC semakin hampir kembali ke Liga Super

Rekod tersebut adalah paling tinggi dicatatkan oleh mana-mana pemain Itali sepanjang tahun 2023. Forestieri turut mengatasi penyerang handalan Itali yang lain seperti Domenico Berardi yang memperoleh 20 gol untuk Sassuolo serta Ciro Immobile yang cuma menghasilkan 14 gol bersama Lazio.

Apa yang dihasilkan oleh Forestieri itu adalah cukup baik memandangkan dia kini sudah berusia 34 tahun. Lebih manis, rekod itu berjaya mengatasi nama-nama besar yang beraksi di Serie A.

"Steady Forestieri, ini baru betul padu ada 4 bini (merujuk sebutan nama Foriesteri)," kata seorang penyokong, Man Bola.

Selain Forestieri, satu lagi nama pemain Liga Super turut memasuki senarai iaitu bintang import Sri Pahang FC, Stefano Brundo.

Brundo turut berjaya memasuki senarai dengan menduduki tempat kelapan selepas menghasilkan 11 gol untuk Tok Gajah. Dia berkongsi jumlah jaringan sama dengan penyerang Sampdoria iaitu Fabio Borini.

Antara nama-nama besar lain yang ditewaskan oleh Forestieri dan Brundo adalah Manolo Gabbiadini (Al-Nasr SC), Antonio Candreva (Salernitana) dan Stephan El Shaarawy (AS Roma) dengan kesemuanya cuma memperoleh 10 gol pada 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram