KISAH Malaysia di Piala Asia 2023 telah berakhir, skuad Harimau Malaya telah pun pulang ke negara selepas mengharungi tiga perlawanan peringkat kumpulan.
Namun begitu, seperti rumah siap tapi pahat berbunyi, masih lagi ada kisah yang tak sedap didengar berkenaan perlawanan menentang Korea Selatan yang berakhir dengan keputusan seri 3-3.
Hal ini kerana, pemain skuad wanita kebangsaan, Intan Serah telah mencipta kontroversi apabila mengeluarkan komen keterlaluan mengeji tindakan Kim Pan-gon yang memasukkan pemain naturalisasi, Romel Morales pada penghujung perlawanan.
Intan mengeluarkan komen sedemikian kerana berasakan Pan-gon sepatutnya meletakkan pemain lain kerana prestasi Romel yang kurang memuaskan di Qatar.
Dia mengharapkan pengendali tersebut memasukkan pemain lain seperti Safawi Rasid ditambah dengan pemain sayap itu pernah mempunyai rekod cemerlang bertemu Pahlawan Taeguk.
Komen dikeluarkan Intan itu mengundang pelbagai reaksi. Kini, dia dikatakan perlu menghadap pimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana tindakannya. Harus diingat, Intan adalah pemain skuad kebangsaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Hanya kerana pengulas, seluruh fans Indonesia mula jatuh hati dengan Malaysia
Intan telah berjumpa Pan-gon dan memohon maaf atas komen pedasnya. — Agensi
BACA LAGI: Tugas di Qatar selesai, 3 watak baharu harus digilap demi misi ke Piala Asia 2027
Walaupun berbuat demikian, tetap ada kelompok yang menyokong tindakan pemain tersebut.
“Dia luahkan perasaan sahaja. Ramai lagi warganet yang mengutuk bila Malaysia kalah,” kata penyokong bernama Wetby Ebanson.
“Alahai, itukan pendapat peribadi dia, dari pandangan dia. Siapa yang peduli pun? Takkan koyak?,” soal Nang Chai Seri pula.
“Stand with Intan Serah. Orang yang betul-betul mahu tengok kemajuan, kehebatan, kejayaan Harimau Malaya. Yang ramai-ramai kecam ni majoriti penjilat, kadang-kadang jadi lalang juga,” ujar Jie Shah.
“Hai Intan Serah. Buang masa je jumpa FAM. Jumpa dengan tok kadi saya. Semoga masjid yang kita bina berkekalan di syurga. Amin,” titip doa oleh Wan Edison mengharapkan cintanya dibalas Intan.
Walaupun ada yang menyokong, tapi yang mengeji tindakan Intan itu tidak kurang ramainya. Pada mereka, Intan patutnya lebih berhati-hati bila mengeluarkan komen apatah lagi dia adalah pemain Malaysia.
“Tak salah dia tak setuju masa Pan-gon masukkan Romel, tapi bahasa yang dia guna tu tak elok. Lepas ni, cubalah bersikap matang, barulah boleh jadi profesional. Semoga ini jadi pengajaran buat Intan,” kata penyokong bernama Azmi Amie.
“Sebagai pemain kebangsaan, dia seharusnya berdiri teguh di belakang rakan seperjuangannya. Jika dia tak bersetuju pun, boleh saja berdiam diri,” ujar Dee Khaldunis.
“Cakap siang, pandang-pandang mek wei,” pesan Sahrir Lockman pula.
Untuk rekod, Intan telah berjumpa Pan-gon secara terus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa kepulangan skuad Harimau Malaya untuk memohon maaf. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram