PENGASAS bersama A22 Sports Management iaitu organisasi di sebalik projek Liga Super Eropah mendakwa bahawa 20 kelab sudah memberikan kelulusan untuk menyertai pertandingan baharu berkenaan.
Walaupun kritikan meluas daripada peminat di seluruh dunia, A22 terus mencuba melaksanakan Liga Super dan menemui harapan baharu pada bulan lalu apabila mahkamah memutuskan bahawa Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak mempunyai kuasa untuk menghukum mana-mana pasukan yang ingin mengambil bahagian.
Pengasas bersama A22, Anas Laghrari mendedahkan perbincangan sudah diadakan dengan lebih 50 kelab mengenai penyertaan Liga Super dan mendakwa mereka menerima sokongan yang mencukupi untuk melaksanakan projek itu.
Sebelum ini, kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona menjadi dua kelab yang masih tinggal dalam projek Liga Super yang dilancarkan pada tahun 2021, dengan 12 kelab pengasas pada mulanya mendaftar sebelum majoriti menarik diri selepas bantahan peminat.
BACA LAGI: Man United mahu 'hadiahkan' ten Hag 2 penyerang Belanda
Real Madrid dan Barcelona menjadi dua kelab yang setia dalam projek Liga Super. — Agensi
BACA LAGI: Demi Man United, Onana sanggup turun berdepan Spurs sehari sebelum aksi AFCON
“Saya tidak mahu menyebut nama kelab. Sejak 21 Disember, kami telah bercakap dengan kira-kira 50 kelab berbeza. Kira-kira 20 daripada mereka sangat-sangat bermotivasi dengan projek itu. Kami sudah mempunyai kelab yang mencukupi untuk memulakan pertandingan.
"Kami banyak mengadakan perbincangan dengan pelbagai kelab, persatuan peminat, pemain dan orang yang terlibat dalam bola sepak. Mereka semua memanggil kami untuk lebih memahami projek ini. Kita boleh bekerjasama untuk meningkatkan bola sepak," katanya memetik laporan Ouest France.
Laghrari juga menegaskan bahawa peminat tidak perlu membayar sesen pun untuk menonton perlawanan Liga Super tetapi akan mempunyai pilihan langganan bulanan bernilai €10 (RM51) untuk menonton tanpa sebarang iklan.
Dia berkata demikian dengan merujuk kepada platform penstriman Unify baharu kumpulan itu.
"Mengapa membayar €40, €50, €60 atau €170, seperti di Sepanyol, untuk dapat menonton bola sepak sedangkan anda boleh melakukannya secara percuma?
"Selalunya kita dengar satu perlawanan setiap hari yang akan percuma, atau ia akan percuma selama tiga bulan dan kemudian anda perlu membayar. Tidak untuk Liga Super ini apabila semua perlawanan diberikan percuma untuk selama-lamanya.
"Gmail adalah percuma, WhatsApp adalah percuma, Instagram adalah percuma, namun mereka menjana banyak wang bagi setiap pengguna. Pengguna di Rennes (ibu pejabat Ouest France) tidak melihat pengiklanan yang sama seperti seseorang di sini di Madrid," tambahnya.
Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif A22 Bernd Reichart berkongsi format baharu Liga Super itu yang akan menyaksikan pertandingan lelaki dan wanita, dengan 64 pasukan bertanding dalam lelaki dan 32 bagi wanita.
Dari segi pertandingan lelaki, 64 kelab akan dibahagikan kepada tiga liga berasingan - bintang, emas dan biru - dengan liga bintang paling kuat dan biru paling lemah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram