SKUAD Harimau Malaya giat melakukan persiapan rapi menjelang kempen Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Qatar berdepan Jordan pada 15 Januari nanti.
Pastinya keputusan seri 2-2 berdepan Syria dalam aksi pemanas badan memberi suntikan semangat kepada barisan pemain skuad kebangsaan untuk mendapatkan keputusan positif dalam aksi pembukaan Kumpulan E tersebut.
Bagaimanapun, berdasarkan kepingan foto pada sesi latihan yang dikongsikan di laman media sosial rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT), Endrick Dos Santos tidak kelihatan.
BACA LAGI: Usah bimbang jika kecundang di tangan Jordan, 3 mata dijamin milik HM lawan Bahrain
Endrick (jersi kuning) menggalas tugas sebagai perancang tengah skuad kebangsaan ketika menyarung jersi Harimau Malaya. — Facebook/FAM
Meninjau ruangan komen, ketiadaan perancang tengah negara itu di tempat latihan undang tanda tanya para penyokong setia Harimau Malaya mengenai keberadaannya.
Malah, kelibatnya juga tidak berjaya dikesan ketika skuad negara terikat dengan keputusan 2-2 berdepan pasukan ke-91 dunia, Syria dalam aksi persahabatan tertutup terakhir sebelum tirai Piala Asia.
"Endrick mana Endrick? Tiada nampak pun kelibat dalam sesi latihan," kata Syukri Faizal.
"Endrick tidak kelihatan di atas padang," kata Farhan Johares.
"Endrick Santos tiada ke? Cedera atau tak cergas ni," kata Sharifuddin Akim.
Perkara tersebut menimbulkan tanda tanya kerana dua pemain kurang cergas sebelum ini iaitu Lavere Corbin Ong dan Natxo Insa sudah pun kembali menjalani latihan bersama pasukan.
Setakat ini, belum ada pengumuman yang dibuat oleh FAM mahupun Endrick mengenai statusnya ketika ini sama ada cedera atau kurang cergas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram