BERMULA daripada kanser hingga ke peringkat Piala Asia, pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan menunjukkan bahawa kegigihan boleh memastikan kejayaaan.
Pemain Selangor FC berusia 35 tahun itu memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia meraih keputusan seri 3-3 menentang Korea Selatan pada perlawanan terakhir Kumpulan E dalam Piala Asia.
Meskipun terlepas dua perlawanan menentang Jordan dan Bahrain, Brendan tetap menunjukkan aksi persembahan yang baik.
Brendan bagaimanapun bersyukur diberi peluang menentang Korea Selatan dan mencapai impiannya beraksi di pentas terbesar.
“Mari katakan, 'Impian Piala Asia dua tahun'.
“Impian itu berkembang setiap minit setiap hari sejak menyaksikan skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur,” katanya.
Brendan Gan antara pemain yang membantu Harimau Malaya meraih keputusan seri berdepan Korea Selatan. — Facebook/FAM
BACA LAGI: Aksi Malaysia-Korea diundi perlawanan terbaik peringkat kumpulan Piala Asia
Brendan menjelaskan bahawa dia merealisasikan impian pertamanya untuk pulih daripada kanser.
Pemain tengah Gergasi Merah itu sudah berehat selama setahun untuk mendapatkan rawatan kanser testis peringkat awal dan hanya membuat kemunculan semula pada Jun 2022.
“Impian pertama adalah untuk pulih daripada kanser. Yang kedua adalah untuk kembali ke padang untuk kelab dan kemudian beraksi dengan cukup baik agar mencapai langkah seterusnya.
“Langkah seterusnya ialah menyarung kembali jersi Harimau Malaya.
“Dapat menyertai senarai akhir 26 pemain yang menakjubkan ini untuk bersaing di pentas terbesar Asia adalah satu penghormatan.
“Jangan lupa bahawa semua orang ada dugaan masing-masing, tak kira besar atau kecil. Kegigihan dalam impian anda adalah kunci kejayaan,” jelasnya.
Brendan telah memainkan peranan penting untuk Selangor dengan mengetuai mereka ke final Piala Malaysia pada 2022 dan menduduki tempat kedua dalam Liga Super tahun lalu untuk menempah tempat ke Liga Juara-Juara AFC.
Bersama pasukan kebangsaan, bekas pemain Sabah dan Kelantan itu telah bermain 35 perlawanan dengan menjaringkan satu gol.
Brendan mungkin mendapat status veteran berkat usianya tetapi melihat keazaman dan kecergasannya, dia boleh beraksi lebih lama untuk Malaysia pada tahun-tahun akan datang dan menjadi aset inspirasi kepada pasukan. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram